Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Satu hingga tiga bulan diperlukan lulus Jaminan Kerajaan – Mohd Irwan

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu tempoh masa purata yang diperlukan Kabinet untuk memutuskan permohonan bagi Jaminan Kerajaan ialah satu hingga tiga bulan.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata berdasarkan pengalamannya, ia bergantung kepada kepentingan keperluan Jaminan Kerajaan itu.

“Ia bergantung pada keadaan… satu hingga tiga bulan… kadang-kadang ia mengambil masa kurang sebulan…. tapi biasanya satu hingga tiga bulan,” kata beliau semasa pemeriksaan utama oleh peguam Farhan Read yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohd Irwan berkata beliau tidak tahu jika ada permohonan sedemikian yang diluluskan dalam tempoh kurang sebulan sambil menegaskan bahawa ia selalunya akan mengambil masa selama sebulan secara purata.

Bagaimanapun, Mohd Irwan berkata beliau tidak terlibat dengan kelulusan bagi Jaminan Kerajaan 2011 untuk pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd, manakala bagi Jaminan Kerajaan kedua berkaitan pinjaman RM2 bilion pada 2012, beliau hanya menandatangani memorandum bagi Jaminan Kerajaan untuk dibentangkan dalam Kabinet.

Semasa prosiding sebelum ini, bekas Timbalan Setiausaha di bahagian pelaburan strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, memberi keterangan bahawa SRC International datang ke kementerian itu untuk membincangkan keperluan ‘segeranya’ bagi mendapatkan Jaminan Kerajaan pada 15 Ogos 2011, dan kertas itu telah dibentang serta diluluskan Kabinet dalam mesyuaratnya bertarikh 17 Ogos 2011.

Afidah Azwa berkata perkara ini adalah luar biasa kerana kelulusan pantas sedemikian bagi Jaminan Kerajaan tidak pernah berlaku sebelum beliau dimaklumkan bahawa SRC International adalah syarikat Najib.

Memperjelas mengenai Jaminan Kerajaan, Mohd Irwan berkata jika sesebuah syarikat boleh membuktikan bahawa ia memiliki projek pada masa hadapan dan menunjukkan bahawa ia mampu menjana pendapatan, maka ia layak mendapat Jaminan Kerajaan.

“Mereka hendaklah mampu membayar balik faedah dan pinjaman pokok… projek-projek seperti empangan hidroelektrik Bakun telah diberikan Jaminan Kerajaan kerana ia telah terbukti menjana pendapatan,” katanya.

Prosiding hari ini berakhir selepas Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V.Sithambaram berkata beliau tidak mempunyai soalan manakala pihak pembelaan turut memilih untuk tidak memeriksa balas Mohd Irwan.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Isnin depan.

– BERNAMA


Pengarang :