Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMAJENAYAH

Sebar berita palsu Covid-19, pesara didenda RM5,000

SANDAKAN, 12 FEB: Seorang pesara Jabatan Keretapi Negeri Sabah hari ini didenda RM5,000 atau 10 bulan penjara jika gagal membayar denda itu bagi kesalahan menyebarkan berita palsu berhubung jangkitan Covid-19.

Majistret Suhailla Selag menjatuhkan hukuman itu terhadap Aliuudin Amit, 67, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan secara sedar mengedarkan satu kenyataan dalam aplikasi WhatsApp mengatakan seorang banduan meninggal dunia kerana Covid-19 di Penjara Sandakan.

Kesalahan itu dilakukan di Lot 70, Jalan Selunsung, Taman Sempelang, Kota Kinabalu pada jam 9.34 malam, 23 Januari lepas.

Edaran kenyataan itu dibaca pegawai di Pejabat Timbalan Penguasa Jabatan Penjara Sandakan pada 10.46 pagi, 24 Januari lepas.

Aliuudin didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika rayuan, Aliuudin, yang tidak diwakili peguam, berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu dan bertegas dia tidak berniat untuk mengaibkan sesiapa atas perbuatannya itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Franklin Ganggan Bennet memberitahu mahkamah rayuan itu bukan faktor utama untuk pertimbangan hukuman ringan.

Sebaliknya, beliau berkata mahkamah perlu mengutamakan kepentingan awam berikutan kesalahan itu adalah serius dan boleh menyebabkan ketakutan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Aliuudin membayar denda itu.

Bermula semalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan Covid-19 sebagai nama rasmi bagi jangkitan koronavirus 2019.

– BERNAMA


Pengarang :