Ir Izham Hashim menyerahkan sijil kepada peserta pada Majlis Graduasi Sekolah Ladang Petani di Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor pada 11 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Sekolah Ladang Petani bimbing pesawah tingkat hasil

KUALA SELANGOR, 11 FEB: Sekolah Ladang Petani (FFS) yang diperkenalkan sejak 2016 berjaya meningkatkan hasil tanaman dan melahirkan 110 pesawah kontak.

Berkonsepkan pembelajaran berkumpulan meliputi latihan amali di sawah, program disertai petani daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Mohamad Shahmi Farhan Ridzuwan, 27, berkata tempoh pembelajaran selama enam bulan pada musim kedua tanaman (Julai hingga Disember) memudahkannya memahami selok-belok pertanian dengan sistematik.

“FSS banyak mengajar saya mengenai pertanian lengkap seperti dalam buku teks antaranya pembajaan sistematik, penggunaan teknologi moden, kawalan makhluk perosak dan penyediaan tanah berbanding belajar dengan orang lama tetapi (informasi) tidak terperinci,” katanya.

Muhammad Fauzanuddin Omarruddin. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI

Pandangan sama dilontarkan Muhammad Fauzanuddin Omarruddin, 26, yang memilih mengusahakan tanaman padi berbanding bekerja di luar Sabak Bernam.

Katanya, kehidupan di kampung yang lebih tenang mendorongnya untuk lebih berdisiplin meningkatkan hasil kepada sembilan tan sejak memulakannya tiga tahun lalu.

“Selepas habis latihan, saya ambil keputusan untuk mengusahakan sawah. Dahulu hasil padi sekitar enam tan tetapi sekarang meningkat kepada sembilan tan.

“Menerusi pembelajaran ini, saya dapat meningkatkan pengetahuan daripada aspek pengurusan bagi meningkatkan hasil,” katanya yang baharu dilantik sebagai ketua blok sawah Sungai Nibong, Sekinchan.

Sulaiman Yahya. Foto FILZAH YAMAL/SELANGORKINI

Pesara Sulaiman Yahya, 59, berpendapat lebih ramai ketua blok sawah perlu menyertai pembelajaran tersebut yang membantu mereka meningkatkan hasil.

Dia yang menceburi pertanian tiga tahun lalu menyokong penuh inisiatif agensi pertanian meningkatkan hasil pesawah ke tahap lebih baik.


Pengarang :