Tujuh wakil persatuan penduduk hadir ketika sesi pendengaran awam penilaian prestasi PBT dan ahli majlis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Selcat: Penduduk puas hati aduan kepada PBT cepat selesai

SHAH ALAM, 20 FEB: Majoriti wakil persatuan penduduk pada sesi pendengaran awam penilaian prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) berpuas hati dengan prestasi agensi berkenaan.

Wakil Persatuan Penduduk Taman Wira, Abu Bakar Abdullah berkata aduan kepada Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) mendapat maklum balas sekurang-kurangnya dalam tempoh dua hari dan ia adalah reaksi terpantas.

“Contoh aduan dikemukakan ialah anjing liar dan masalah longkang, aduan diselesaikan dengan kadar segera. Walaupun berbeza jabatan tetapi mereka peka masalah diadukan penduduk,” katanya.

Sementara itu wakil Persatuan SJ Wangsa Baiduri, Haneef Gordon pula memuji sistem Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang dianggap baik serta mudah digunakan orang awam.

“MPSJ membina hubungan baik dengan masyarakat namun sebaliknya ahli majlis kurang berinteraksi, dan mereka perlu lebih strategik dan rapat dengan penduduk,” katanya.

Mereka diantara saksi yang hadir bagi sesi pendengaran awam penilaian prestasi PBT dan ahli majlis oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

Pada sesi itu, seramai tujuh saksi wakil persatuan penduduk di kawasan MPSJ, MDKL dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya dipanggil.

Turut hadir ialah Pengerusi Selcat, Ng Suee Lim dan ahli jawatankuasanya termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.


Pengarang :