Ahli jawatan kuasa SELCAT ketika Sesi Pendengaran Awam “Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis” di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selcat: Wakil rakyat perlu dilantik sebagai ahli majlis

OLEH KHAIRUL AZRAN HUSSIN dan NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 FEB: Selangor dicadang melantik Ahli Dewan Negeri (ADN) sebagai ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan, kata ADN Pelabuhan Klang.

Azmizam Zaman Huri berkata wakil rakyat berperanan sebagai penghubung antara Kerajaan Negeri dan ahli majlis bagi memastikan mereka memahami polisi semasa.

“Jika tanya secara peribadi saya setuju jika ADN dilantik kerana memudahkan pelaksanaan polisi Kerajaan Negeri di peringkat PBT dan tidak timbul isu salah laku kerana rakyat selalu memantau kita,” katanya ketika menjadi saksi sesi pendengaran awam ‘Penilaian Prestasi PBT dan Ahli Majlis Negeri Selangor’ oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) di Bangunan Annex di sini hari ini.

Pandangan sama dikongsi ADN Jeram Mohd Shaid Rosli dengan berkata ia membolehkan masalah di PBT dapat diselesaikan lebih cekap.

“Penglibatan wakil rakyat dalam sesuatu isu penting supaya mudah disampaikan kepada umum dan media. Sebelum ini terdapat gerak kerja dilaksana PBT serta ahli majlis tidak sampai ke pengetahuan ADN,” katanya.

Selcat dipengerusikan ADN Sekinchan Ng Suee Lim dan ahli jawatankuasa terdiri ADN Hulu Kelang Saari Sungib, ADN Banting Lau Weng San, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin, ADN Sungai Air Tawar Rizam Ismail dan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.


Pengarang :