Kenderaan yang membawa Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan beredar dari Istana Negara pada 24 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Semua jawatan menteri, timbalan terbatal hari ini

SHAH ALAM, 24 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan membatalkan pelantikan menteri-menteri atas nasihat Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali memaklumkan perkara itu diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan pada 24 Februari 2020 selaras peletakan jawatan Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, tugas-tugas anggota pentadbiran (merangkumi timbalan perdana menteri, menteri, timbalan menteri dan setiausaha politik) terhenti pada tarikh yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki sebelum ini mengesahkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri interim sementara menunggu Perdana Menteri baharu mengangkat sumpah jawatan selaras Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Petang tadi, Dr Mahathir meluangkan masa kira-kira 90 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong selepas mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan pengerusi Bersatu.


Pengarang :