Ilustrasi tangkapan penjenayah. Grafik Media Selangor
AGENDAJENAYAH

Seorang lagi ditahan bantu siasatan kekecohan program Armada

JOHOR BAHRU, 2 FEB: Polis Johor menahan seorang lagi individu bagi membantu siasatan kes kekecohan pada satu program Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor yang diadakan secara tertutup di Ulu Tiram di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata individu itu ditahan lewat petang semalam.

Perkembangan itu, katanya, menjadikan jumlah suspek yang ditangkap setakat iniseramai tiga orang termasuk dua individu yang diberkas pada Jumaat malam.

“Ketiga-tiga mereka berumur lingkungan 30-an dan perintah reman terhadap mereka akan dipohon daripada mahkamah hari ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini hari ini.

Mohd Kamarudin berkata siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kesemua suspek mempunyai kaitan dengan parti-parti politik.

Beliau berkata semua masyarakat harus menghormati undang-undang dan tidak bertindak di luar batasan dalam sesuatu perkara.

Pada Jumaat lepas, kira-kira 200 individu didakwa mencetuskan kekecohan dengan mengeluarkan kata-kata kesat, lucah dan ugutan kepada Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, ketika satu program tertutup bersama Aramada Johor.

– BERNAMA


Pengarang :