Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Seorang maut kereta lawan arus rempuh kenderaan

SEREMBAN, 16 FEB: Seorang pemandu kereta maut manakala tiga penunggang dan seorang pembonceng motosikal cedera selepas mereka dirempuh sebuah kereta dipandu seorang lelaki secara melawan arus di kilometer 17.5 Lebuhraya Lekas, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata dalam kejadian 3.20 pagi itu, seorang pemandu kereta jenis Proton Persona dikenali sebagai Abdul Salam Saad berusia 34 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati kereta yang dipandu mangsa serta tiga motosikal itu berada dalam satu laluan yang sama sedang bergerak dari susur keluar Tol Pajam menghala ke Seremban.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta jenis Ford Fiesta dipandu seorang lelaki berusia 30 tahun yang sedang bergerak terus dari arah Kajang, Lebuhraya Lekas dipercayai cuba melawan arus untuk masuk ke jalan susur keluar Tol Pajam dan merempuh sebuah Proton Persona dan tiga buah motosikal yang berada di laluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, tiga penunggang dan seorang pembonceng motosikal itu luka di badan dan tangan manakala pemandu kereta yang melawan arus itu cedera di kepala dan luka di badan.

Beliau berkata mayat lelaki yang meninggal dunia itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban untuk bedah siasat manakala pemandu lelaki yang cedera itu turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Polis masih menunggu laporan ujian alkohol dan air kencing pemandu kereta yang terlibat dalam kejadian itu sama ada terdapat kandungan alkohol atau dadah,” katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

-BERNAMA


Pengarang :