DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (tengah) berkenan menyaksikan bunga api sempena Majlis Pelancaran Logo dan Slogan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam ke-20 di Stadium, Shah Alam pada 18 Januari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Shah Alam tersenarai 25 stadium terbesar di dunia

SHAH ALAM, 17 FEB: Stadium Shah Alam tersenarai antara 25 stadium bola sepak terbesar di dunia sebaris dengan Camp Nou yang merupakan stadium rasmi bagi FC Barcelona.

Selain Shah Alam, Business Insider Malaysia juga menyenaraikan 22 stadium besar lain termasuk Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur, Stadium May Day Korea Utara, Stadium Wembley London, Stadium Croke Park Ireland dan Stadium Stade des Martyrs di Republik Demokratik Congo.

Stadium Shah Alam mempunyai 80,372 tempat duduk dibina pada 1991 dan dibuka secara rasmi pada Julai 1994.

“Perlawanan bola sepak pertama di stadium itu pada 1994 apabila Selangor bertemu Dundee United,” kata laporan itu.

Ia juga merupakan gelanggang utama skuad bola sepak kebangsaan dan menjadi lokasi perlawanan akhir Piala Malaysia dari 1994 sehingga 1997 sebelum Stadium Nasional Bukit Jalil dibina.

Terdahulu, Kerajaan Negeri merancang untuk membaik pulih bumbung Stadium Shah Alam yang rosak membabitkan kos keseluruhan hampir RM20 juta.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari turut mengarahkan Darul Ehsan Facilities Management berbincang dengan Menteri Besar Pemerbadanan dan Permodalan Negeri Selangor Berhad bagi tujuan itu.

Pada 11 Februari, Kementerian Belia dan Sukan turut menyatakan kesediaannya memberi panduan serta khidmat nasihat kepada pihak Perbadanan Stadium Malaysia susulan isu bumbung rosak yang dikatakan mengancam keselamatan penonton.


Pengarang :