Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

SIBS 2020 sasar transaksi perniagaan RM300 juta

KOTA KINABALU, 5 FEB: Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 14-17 Oktober depan, disasarkan menjana transaksi perniagaan bernilai RM300 juta.

Acara SIBS 2019 yang dianjurkan oleh Invest Selangor Bhd telah berjaya meraih transaksi bernilai RM247.3 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Bhd Datuk Hasan Azhari Idris berkata SBS 2020 yang berlangsung selama empat hari akan membabitkan penyertaan lebih 800 pempamer dan dijangka menerima 40,000 pengunjung.

“SIBS 2020 ini meliputi empat acara utama iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor (SIE), Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SCDE), Persidangan Perniagaan Selangor-ASEAN serta Ekspo R&D dan Inovasi Selangor (R&D).

“Acara sampingan lain termasuk Pameran Kopi & Teh Antarabangsa Malaysia (MICT), Persidangan Halal Antarabangsa Selangor dan Festival Kulinari Selangor,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Beliau berada di sini bagi menemui pelbagai pihak seperti agensi Persekutuan dan negeri serta jaringan perniagaan untuk mempromosi SIBS 2020 selain menggalakkan penyertaan para pempamer dari Sabah.

Mengulas selanjutnya Hasan Azhari berkata objektif utama SIBS 2020 bukan setakat memperkenalkan Selangor sebagai pintu masuk ASEAN tetapi turut memberi peluang kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana meneroka pasaran baharu rantau itu yang mempunyai kira-kira 600 juta penduduk.

Pihak penganjur turut menyasarkan untuk membawa kira-kira 300 pembeli antarabangsa yang boleh mendapatkan bekalan produk mereka daripada peserta pameran.

“Seramai 141 pembeli antarabangsa dari 30 negara hadir pada acara ini tahun lepas dan kita menyasarkan jumlah lebih tinggi pada tahun ini,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai SIBS 2020 boleh diperolehi di www.selangorsummit.com atau laman sosial Facebook, Twitter dan Instagram menerusi #selangorsummit.

– BERNAMA


Pengarang :