Pelbagai paket jus minuman yang disyaki mengandungi dadah dipamerkan pada sidang akhbar yang diadakan di Pengkalan Marin Wilayah 1, Gelugor pada 24 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMAJENAYAH

Sindiket jual dadah dalam bungkusan minuman tumpas

GEORGE TOWN, 25 FEB: Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan membungkus dadah ke dalam paket serbuk minuman ‘tiga dalam satu’ berjenama selepas menahan dua lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM738,400, dalam serbuan berasingan di Kedah dan Pulau Pinang pada Khamis lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk T.Narenasegaran berkata, polis menahan lelaki pertama berusia 19 tahun dalam sebuah kereta di Jalan Datuk Keramat, di sini pada 1 petang, sebelum menahan rakannya berumur 29 tahun di Sungai Petani, Kedah pada hari sama, dan seterusnya menyerbu sebuah apartmen di Jelutong pada 3 pagi Jumaat.

“Ekoran itu, polis merampas 309 paket pelbagai jenis minuman yang mengandungi dadah jenis MDMA, 1,600 biji pil eramin 5, pil ekstasi (1,010 biji), ketamin (127.4 gram(g)) dan ganja sebanyak 101g yang kesemuanya bernilai RM738,400.

“Hasil siasatan polis mendapati rumah di Jelutong, di sini itu dijadikan tempat untuk sindiket tersebut memproses dan membungkus semula dadah ke dalam paket minuman jenama terkenal, sebelum ia dijual kepada orang tengah untuk diedarkan di pusat-pusat hiburan sekitar negeri ini,” katanya kepada media di sini semalam.

Narenasegaran berkata setiap bungkusan tersebut dijual kepada orang tengah dengan harga RM130 hingga RM150 setiap bungkus, namun harga pasaran di pusat hiburan sekitar RM200 hingga RM300 dan ia mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan ketika ini.

Narenasegaran berkata siasatan juga mendapati dua lelaki itu mendapatkan bekalan dadah daripada rangkaian sindiket, sebelum membungkusnya semula dan menjual di sekitar negeri ini sejak tiga bulan lepas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan beberapa lagi ahli sindiket dadah itu, termasuk dalang utamanya yang di percayai masih berada di sekitar negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, jika dadah tersebut berjaya dijual di pasaran, ia mampu menampung bekalan untuk 4,780 penagih dadah.

Menurutnya dua lelaki yang tidak bekerja itu kini direman enam hari, bagi membantu siasatan dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

– BERNAMA


Pengarang :