Dua orang wanita mengenakan pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan Covid-19 ketika bersiar-siar di Singapura pada 14 Februari 2020. Foto AFP
AGENDABERITA UTAMAGLOBAL

Singapura catat sembilan lagi kes positif Covid-19

SINGAPURA, 15 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan sembilan lagi kes Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 67.

MOH dalam kenyataan memaklumkan kesemua kes membabitkan rakyat Singapura yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Satu daripada kes baharu itu membabitkan seorang lelaki berusia 61 tahun yang bertugas di sebuah hospital swasta.

Pada masa ini beliau ditempatkan dalam bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID), kata kementerian itu.

MOH berkata lelaki itu tidak ke tempat kerja sejak bermulanya gejala penyakit tersebut pada 7 Februari dan tidak mempunyai interaksi yang diketahui dengan kes lampau.

Mengemas kini situasi kes yang disahkan, MOH berkata setakat ini, dua lagi kes pulih sepenuhnya, menjadikan jumlah kes yang dibenarkan keluar dari hospital ialah 17.

Daripada 50 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala enam dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi, katanya.

-BERNAMA


Pengarang :