Dua orang wanita mengenakan pelitup muka sebagai langkah berjaga-jaga susulan penularan Covid-19 ketika bersiar-siar di Singapura pada 14 Februari 2020. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Singapura sahkan dua lagi kes positif Covid-19

SINGAPURA, 18 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) hari ini mengesahkan dua lagi kes positif jangkitan Covid-19 di republik itu, menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 77.

Satu daripada kes itu membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun, antara kumpulan rakyat Singapura yang dibawa pulang dari Wuhan pada 9 Februari, menurut MOH dalam satu kenyataan.

MOH berkata mangsa tidak menunjukkan sebarang gejala ketika menaiki pesawat dan dikuarantin sejurus mendarat di Singapura.

Dia kini ditempatkan di bilik isolasi di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK.

Sementara itu, kes lain membabitkan seorang lelaki rakyat Singapura berusia 35 tahun tanpa sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

Dia disahkan dijangkiti virus Covid-19 pagi semalam dan ditempatkan di bilik isolasi di Pusat Kebangsaaan Penyakit Berjangkit, menurut kementerian itu.

Mangsa adalah kontak kes ke-50, yang merupakan seorang pekerja lelaki Bank DBS berusia 62 yang disahkan dijangkiti virus itu pada 12 Februari.

Sehingga kini, MOH berkata sejumlah 24 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan dibenarkan keluar dari hospital.

Kenyataan itu menyebut daripada 53 kes yang disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil atau semakin pulih manakala empat berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Setakat tengah hari ini, MOH berkata 937 kes yang disyaki diuji negatif bagi Covid-19 manakala baki 103 kes masih menunggu keputusan ujian makmal.

Pada masa sama, MOH mengenal pasti 2,358 kontak rapat yang dikuarantin dan daripada jumlah ini, 1,081 sedang dikuarantin manakala 1,277 selesai menjalani kuarantin mereka.

-BERNAMA


Pengarang :