Seorang pegawai kesihatan memeriksa penumpang dari China di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura pada 22 Januari 2020 ketika pihak berwajib meningkatkan pemeriksaan terhadap koronavirus. Foto AFP
AGENDAGLOBAL

Singapura sahkan tujuh lagi kes jangkitan koronavirus

SINGAPURA, 9 FEB: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan tujuh kes baharu jangkitan koronavirus 2019 di republik itu, menjadikan jumlahnya kini 40.

Lima daripada jumlah berkenaan mempunyai kaitan dengan kes-kes yang diumumkan sebelum ini, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

“Antara kes-kes baharu yang disahkan itu melibatkan pemandu teksi, dan pemandu peribadi kereta sewa,” tambahnya.

Menurut kementerian itu dua daripada kes-kes baharu yang disahkan mempunyai kaitan dengan mesyuarat perniagaan persendirian yang berlangsung di Grand Hyatt Singapore dari 20 hingga 22 Januari.

Kes-kes baharu itu melibatkan enam warga Singapura serta seorang pemastautin tetap, dan kesemua mereka tiada rekod perjalanan baru-baru ini ke China.

Dalam maklumat kemas kini kes-kes yang disahkan, Kementerian Kesihatan Singapura berkata dua telahpun dibenarkan keluar hospital, empat ditempatkan di Unit Rawatan Rapi dalam keadaan kritikal, dan satu memerlukan sokongan oksigen tambahan.

– BERNAMA


Pengarang :