AGENDANASIONAL

Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan bantu peniaga kecil

PUTRAJAYA, 17 FEB: Kementerian Wilayah Persekutuan akan menawarkan Skim Mikro Kredit Wilayah Persekutuan (SMKWP) bermula 1 Mac ini bagi membantu usahawan kecil daripada golongan berpendapatan rendah untuk meningkatkan taraf ekonomi.

Menterinya Khalid Abdul Samad berkata permohonan akan dibuka esok dengan tawaran pinjaman dari RM1,000 hingga RM5,000 setiap seorang dengan tempoh bayaran balik sehingga tiga tahun.

“SMKWP terbuka kepada semua usahawan kecil iaitu pemegang lesen penjaja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Perbadanan Labuan (PL).

“Kami tidak mahu terlalu gopoh untuk memberikan jumlah banyak, jadi buat permulaan RM500,000 diperuntukkan untuk SMKWP dengan sasaran 100 pemohon,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Peminjam boleh membuat bayaran balik secara mingguan minimum RM20 hingga RM100 dengan caj pengurusan dua peratus dan wajib membuat bayaran tambahan tiga peratus yang akan direkodkan sebagai simpanan.

Khalid berkata KWP bekerjasama dengan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Bank Islam Malaysia Bhd bagi menawarkan skim untuk memudahkan peniaga menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

“Kami tidak mendapat apa-apa keuntungan, sebaliknya kami turut membantu peminjam membuat simpanan sementara mereka membuat bayaran mingguan.

“Sebaik sahaja mereka selesai membayar pinjaman, mereka boleh mengambil simpanan itu secara tunai ataupun baki hutang diselesaikan dengan wang simpanan,” katanya.

Katanya, pinjaman diberi secara sekali bayar sekiranya sesuatu permohonan berjaya, tiada cagaran dan proses tapisan dilakukan dengan temu duga serta lawatan tapak sebelum menentukan sama ada permohonan itu layak atau tidak.

“Sebaik sahaja diluluskan, mereka akan mendapat jumlah pinjaman yang dipohon dan pengeluaran akan dilakukan oleh Bank Islam, pemantauan dan kursus akan diberikan kepada peminjam dari masa ke masa,” katanya.

Khalid berkata permohonan boleh dibuat menerusi pejabat YWP di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan mengemukakan dokumen pengenalan diri dan perniagaan sedia ada.

“Sekiranya sambutan menggalakkan, kami akan mempertimbangkan untuk membuka lebih banyak permohonan dan menambah dana pinjaman,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :