Selangorkini
Datuk Seri Najib Razak. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SRC: Permohonan Najib paksa saksi setuju ditemu bual ditolak

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memaksa seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersetuju ditemu bual oleh pasukan pembelaannya sebelum memberi keterangan dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan hak Najib untuk mendapatkan perbicaraan yang adil tidak akan terjejas akibat keengganan saksi ditemu bual memandangkan Penolong Pesuruhjaya Mohd Nasharudin Amir mengangkat sumpah untuk berkata benar walaupun hadir ke mahkamah selepas disepina.

“Beliau bukan saksi pendakwaan dan tidak ditawarkan kepada pembelaan sebagai saksi. Hakikat beliau seorang penjawat awam dan bekas pegawai penyiasat untuk kes lain tidak mengubah perkara ini,” kata hakim itu.

Mohd Nasharudin adalah pegawai penyiasat dalam kes Najib membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.28 bilion.

Dalam perkembangan lain, pendakwa ad-hoc Datuk V. Sithambaram memberitahu mahkamah beliau dimaklumkan pihak pembelaan tidak akan memanggil pakar dokumen Australia Dr Stevens Strach susulan kebuntuan berkaitan syarat pelantikan Dr Strach.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pembelaan, mengesahkan perkara ini dan berkata mereka tidak diberikan sebarang laporan atau penemuan oleh Dr Strach daripada pemeriksaannya yang dijalankan pada 11 dan 12 Februari, selain laporan awal.

“Oleh itu, kami tidak akan memanggil Dr Strach untuk memberi keterangan,” kata Muhammad Shafee.

Sementara itu, Sithambaram berkata pendakwaan tidak mempunyai masalah untuk Najib memeriksa salinan asal rakaman audio yang dikeluarkan SPRM pada awal tahun ini namun mengecup hak untuk membantah kebolehterimaan rakaman audio itu atas alasan kerelevanan, keperluan atau sebarang alasan lain yang dibenarkan undang-undang.

Rakaman audio itu didakwa membabitkan kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib ketika beliau menjadi perdana menteri, bersama beberapa rakaman perbualan telefon lain yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB dan SRC International Sdn Bhd.

Menyentuh perkara lain, pendakwaan berkata mereka akan memberikan penyataan saksi SPRM yang tidak dapat dikesan kepada pembelaan, termasuk Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.

Sebagai respons, peguam Harvinderjit Singh berkata mereka akan meneliti kesemua penyataan itu.

Muhammad Shafee turut memaklumkan mahkamah bahawa bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah ditetapkan untuk memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata oleh kerana ibu Mohamed Apandi tidak sihat, maka bekas peguam negara itu meminta untuk memberi keterangan pada tarikh lain kerana beliau ingin menziarahi wanita tersebut di Kelantan.

Najib sedang membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewang RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalah guna kuasa membabitkan dana SRC.

Perbicaraan bersambung esok.

-BERNAMA


Pengarang :