Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin (tengah) bercakap pada sidang media selepas melawat kawasan struktur kondomunium 37 tingkat yang sedang dalam pembinaan di Taman Desa Jalan Klang Lama runtuh pada 14 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Struktur kondominium runtuh: Mangsa kedua selamat, berjaya dikeluarkan

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Mangsa kedua yang terperangkap dalam insiden runtuhan sebahagian struktur kondominium 37 tingkat yang dalam pembinaan di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini petang tadi, telah berjaya diselamatkan malam ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata pekerja warga asing berusia 26 tahun itu, berjaya dibawa keluar dari kawasan runtuhan oleh pasukan penyelamat kira-kira 9.30 malam ini.

“Mangsa hanya mengalami sesak nafas selepas terperangkap lama di bawah runtuhan, dan dia telah diberikan alat pernafasan.

“Kecederaan lain akan dikenal pasti ketika mangsa dirawat di Hospital Kuala Lumpur nanti dan saya berterima kasih dengan semua pihak yang terlibat dalam insiden ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan seorang pekerja binaan terselamat manakala seorang lagi terperangkap, selepas sebahagian struktur kondominium itu runtuh, dalam kejadian kira-kira 3.30 petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata mangsa berusia 30 tahun itu ditemui di tingkat satu runtuhan dan dibawa keluar pukul 5.15 petang tadi.

Zuraida berkata runtuhan yang berlaku melibatkan kawasan tempat letak kereta di tingkat enam bangunan, dan berikutan insiden itu pembinaan projek kondominium berkenaan dihentikan serta-merta, sehingga siasatan selesai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Pihak pemaju amat kesal dengan insiden yang berlaku dan sedia untuk disiasat pihak berkuasa, katanya.

Beliau berkata DOSH telah diarahkan untuk menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca runtuhan, dengan siasatan akan segera dilakukan esok dan punca kejadian dijangka diketahui dalam tempoh satu bulan.

“Pihak DOSH akan selesaikan secepat mungkin siasatan, dan sebarang kerja pembinaan di tempat ini akan dihentikan serta merta.

“Saya juga akan koordinasi dengan Menteri Wilayah Persekutuan (Khalid Abdul Samad) untuk lihat punca kejadian, serta adakah proses serta spesifikasi yang (digunakan) betul,” katanya.

Katanya bukti awal berhubung insiden itu telah diambil oleh DOSH dan sebarang tindakan akan dilakukan berdasarkan hasil laporan.

– BERNAMA


Pengarang :