Dato’ Seri Amirudin Shari dan rombongan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 25 Februari 2020. Foto Selangor Royal Official
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan Selangor puas hati komitmen Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 25 FEB: Duli Yang Maha Mulia  Sultan Sharafuddin Idris Shah berpuas hati dengan komitmen Kerajaan Selangor untuk meneruskan mandat rakyat negeri ini.

“Baginda turut berkenan supaya pentadbiran Kerajaan Negeri berfungsi seperti biasa,” kata kenyataan Pejabat Istana Selangor menerusi Instagramnya, hari ini.

Pagi tadi, baginda menerima menghadap Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari selaku pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor yang mengetuai rombongan bersama Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Amanah Selangor, Ir Izham Hashim di Istana Bukit Kayangan di sini.

Pada pertemuan dengan Sultan Selangor, Amirudin berikrar untuk terus menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda bermanfaat kepada negeri dan penduduk.

Izham pula berkata Pakatan Harapan Selangor mempunyai majoriti besar dan stabil untuk kekal sebagai kerajaan bagi meneruskan pentadbiran.

“Kami menghormati mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 yang lalu,” katanya.


Pengarang :