EKONOMINASIONAL

Syarikat makanan, minuman Malaysia sertai pameran perdagangan di Dubai

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Lebih 100 syarikat makanan dan minuman (F&B) Malaysia akan menyertai pameran perdagangan F&B yang terbesar di dunia, Gulfood, di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mulai esok hingga 20 Februari.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), agensi sektor awam lain termasuklah Majlis Minyak Sawit Malaysia, Majlis Amanah Rakyat, Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan, Sabah serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

Antara produk Malaysia yang akan dipromosikan dalam pameran perdagangan itu ialah produk berasaskan minyak sawit, bahan makanan, minuman, kuih muih, sos dan pes, snek, makanan sejuk beku, produk roti dan makanan sedia dimakan.

Pengarah Seksyen Halal, Makanan & Minuman Halal dan Agro Matrade Remee Yaakub berkata penyertaan Malaysia dalam Gulfood bertujuan mendedahkan pembeli global pada acara itu, terutamanya dari rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA), kepada pelbagai produk yang berkualiti tinggi oleh syarikat Malaysia.

“Kami turut mempromosikan kekuatan Malaysia dalam Halal berikutan kini terdapat peningkatan permintaan terhadap produk Halal di rantau itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2019, eksport makanan yang diproses Malaysia ke rantau MENA naik 20 peratus kepada RM1.9 bilion dengan UAE menjadi destinasi eksport terbesar Malaysia di rantau itu pada tahun lepas.

“Antara sebabnya ialah penerimaan yang kukuh terhadap produk F&B Malaysia di sana dan pengedaran produk Malaysia yang luas di pasar raya di rantau itu,” kata Remee.

Matrade juga berkata antara syarikat Malaysia yang mengambil bahagian, Dr Aishah Solution telah disenarai pendek sebagai pemenang yang berpotensi untuk Anugerah Gulfood 2020 bagi kategori ‘Produk Halal Paling Inovatif’.

– BERNAMA


Pengarang :