Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDAGLOBAL

Syarikat Taiwan, Amerika Syarikat jalin kerjasama bangunkan vaksin Covid-19

TAIPEI, 17 FEB: Medigen Vaccine Biologics Corp (MVC), berpangkalan di Taiwan pada Isnin mengumumkan kerjasama dengan Institut Kesihatan Negara (NIH) Amerika Syarikat untuk membangunkan vaksin COVID-19, lapor Agensi Berita Pusat (CNA).

Menurut MVC, pihaknya memeterai perjanjian dengan NIH pada Ahad, untuk mendapatkan vaksin cubaan dan bahan berkaitan yang dibangunkan institut kesihatan Amerika itu.

Syarikat itu berkata ujian terhadap haiwan akan dilakukan di Taiwan, hasilnya akan digunakan untuk ujian klinikal ke atas manusia dan membangunkan vaksin generasi baharu.

Ia kerjasama kedua antara MVC dengan NIH sejak 2015, menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama membangunkan vaksin demam denggi.

Jika semua berjalan lancar, MVC berkata ia akan memperkenalkan vaksin cubaan virus berkenaan dan bahan berkaitan untuk ujian lanjutan terhadap manusia sebelum menghasilkan vaksin efektif bagi menangani wabak itu.

Pada 12 Februari MVC memohon kebenaran dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Taiwan untuk ujian transkripsi balik- tindak balas rantai polimerase (RT-PCR) yang dibangunkan untuk memerangi COVID-19, pertama kali dikesan di bandar Wuhan, China, pada Disember lalu.

– BERNAMA


Pengarang :