Taman Permainan berkonsepkan dinasour di Taman Tasik Milenium, Ampang Pecah yang sesuai untuk anak-anak beriadah. Foto ihsan Facebook MDHS
PBTSELANGOR

Taman Tasik Milenium lokasi riadah popular Kuala Kubu Bharu

KUALA KUBU BHARU, 25 FEB: Taman Tasik Milenium, Ampang Pecah yang terletak lima kilometer dari pekan Kuala Kubu Bharu kini menjadi lokasi riadah yang menarik ramai pengunjung.

Taman dibangunkan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang beroperasi dari 7 pagi hingga 7 malam dilengkapi pelbagai kemudahan awam seperti struktur teduhan, menara pandang, surau, tandas, wakaf, kerusi, tong sampah dan papan tanda.

Bahagian korporat dan perhubungan awam MDHS dalam kenyataan memaklumkan, taman berkeluasan 60 hektar itu merangkumi stadium mini dan tasik semula jadi berlatarbelakangkan kehijauan alam.

Taman Tasik Milenium, Ampang Pecah di Kuala Kubu Bharu. Foto ihsan Facebook MDHS

“Dua taman permainan berkonsepkan dinasour turut sesuai untuk membawa anak-anak beriadah dan berkelah.

“Taman ini juga ada dua padang bola, sebuah padang ragbi untuk melakukan aktiviti sosial seperti pertandingan sukan, perkhemahan atau karnival,” kata kenyataan itu.

Pintu masuk ke taman ini dihias dengan arca kepala buaya sebagai simbolik cerita pada zaman dahulu yang dikatakan ada buaya putih yang menyebabkan empangan pecah sehingga menenggelamkan Kuala Kubu Lama.

Orang ramai yang menggemari aktiviti luncur udara pula boleh singgah di Bukit Batu Pahat yang terletak berdekatan kawasan ini.


Pengarang :