Istana Negara. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tan Sri Muhyiddin Yassin perdana menteri baharu – Istana Negara

KUALA LUMPUR, 29 FEB: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

“Seri Paduka Baginda telah berkenan melantik YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin) sebagai Perdana Menteri selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan media.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

“Setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta Ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat ialah YB Tan Sri Mahiaddin Bin Md Yasin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh (P143)”.

Menurut Ahmad Fadil, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan diadakan pada 10.30 pagi esok di Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengah kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama,” menurut kenyataan itu.

Al-Sultan Abdullah bertitah bahawa ia adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik tersebut berakhir, menurut Ahmad Fadil.

Istana Negara hari ini telah menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

Menurut Ahmad Fadil, proses tersebut adalah lanjutan daripada titah Al-Sultan Abdullah dengan ketua-ketua parti politik dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas diminta untuk mengemukakan pencalonan nama-nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khususnya agensi-agensi kerajaan, keselamatan dan pihak media, menurut Ahmad Fadil.

– BERNAMA


Pengarang :