AGENDANASIONAL

Tapir jantan ditemui mati dilanggar kenderaan

JOHOR BAHRU, 9 FEB: Seekor tapir jantan ditemui mati di Jalan Mersing-Jemaluang berhampiran Institut Latihan Perindustrian (ILP) Mersing dekat sini malam tadi, dipercayai dilanggar sebuah van.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata haiwan dianggarkan berusia enam tahun dan seberat 200 kilogram itu ditemui orang awam pada pukul 9.45 malam yang kemudiannya memaklumkan kepada Perhilitan.

“Pemeriksaan pada tapir mendapati ada kecederaan di kepala, badan dan kesan seretan,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata bangkai tapir berkenaan akan ditanam berhampiran kawasan pejabat perhilitan di Jemaluang di Mersing.

“Kes ini merupakan kejadian kelima pada tahun ini. Pada 4 Februari lepas, seekor tapir betina ditemui mati di Jalan Sekakap-Mersing.

“Siasatan awal mendapati gangguan habitat akibat aktiviti pertanian di kawasan berkenaan menyebabkan tapir-tapir ini keluar dari habitatnya,” kata beliau.

– BERNAMA


Pengarang :