AGENDANASIONAL

Tawar promosi hebat pikat pelancong domestik

KUALA LUMPUR, 16 FEB: Penyedia perkhidmatan pelancongan seperti syarikat penerbangan, hotel, restoran dan taman tema perlu menawarkan promosi hebat yang mampu memikat pelancong domestik dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020).

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Datuk Tan Kok Liang berkata langkah itu akan menarik lebih ramai pelancong tempatan dan mengurangkan kesan kerugian akibat pembatalan tempahan baru-baru ini susulan penularan Covid-19.

“Profil pelancong tempatan adalah berbeza dan masing-masing mempunyai minat khusus. Jadi kepelbagaian (promosi) adalah penting. Berbekalkan tawaran yang menarik daripada hotel serta pusat peranginan dari empat hingga lima bintang, lebih ramai rakyat Malaysia akan menjadi pelanggan.

“Hotel mewah juga boleh menawarkan cuti inap kepada penduduk pada harga rendah tanpa menjejaskan pasaran biasa mereka dan melalui langkah ini, orang-orang yang bercuti akan mendapat nilai terbaik untuk wang mereka,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, beliau menyarankan pengusaha pelancongan lebih inovatif dengan menawarkan pakej pengembaraan dan menarik untuk memenuhi kehendak pelbagai segmen.

Tan berkata lawatan luar ke kawasan hutan atau dusun berdekatan juga perlu dipertimbang memandangkan harga buah-buahan tempatan seperti durian telah jatuh susulan penutupan bandar-bandar utama di China akibat penularan Covid-19.

Sebagai langkah untuk memberikan nilai tambah kepada produk tempatan, Tan menyarankan agar karnival membeli-belah tempatan diadakan di mana hanya hasil tempatan dibenarkan dijual.

“Ini akan menarik ramai petani dan kilang tempatan untuk mempamerkan produk mereka, yang akan menarik minat penduduk mahupun pelancong tempatan kerana rakyat Malaysia suka membeli-belah,” katanya.

Malaysia menerima kira-kira 3.1 juta pelancong dari China tahun lepas dan 2.94 juta pada tahun sebelumnya dan berharap untuk menerima lebih 3.26 juta pelancong dari negara itu pada 2020 namun susulan penularan Covid-19, suku pertama dan kedua tahun ini dijangka terjejas.

Bagi kempen TMM2020, Malaysia menyasarkan untuk menarik ketibaan sejumlah 30 juta pelancong antarabangsa dan menjana pendapatan pelancongan berjumlah RM100 bilion.

Sementara itu, Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (Bumitra) Mohd Ali Ab Malek berkata pusat penginapan harus menawarkan promosi berpatutan kepada syarikat besar yang ingin menjalankan aktiviti untuk kakitangan di tempat mereka.

Beliau berkata tawaran bagi mengadakan mesyuarat, seminar atau kursus di hotel, pusat peranginan atau pusat membeli-belah mampu menarik syarikat besar atau kecil untuk menggunakan perkhidmatan mereka berulang kali sepanjang tahun.

“Sebagai contoh, sekiranya sebuah syarikat mempunyai 1,000 kakitangan, mereka akan menghantar sekurang-kurangnya 50 pekerja untuk satu siri seminar, bayangkan berapa keuntungan yang boleh hotel peroleh sekiranya syarikat tersebut melakukan beberapa siri di tempat mereka.

“Langkah ini turut membantu pemain industri berkaitan seperti pengangkutan bas dan restoran di mana perkhidmatan mereka turut digunakan untuk tujuan ini,” katanya.

Presiden Persatuan Kampungstay dan Homestay Malaysia (MKHA) Zohaime Muhamad Sori pula mencadangkan pihak sekolah dan institut pengajian tinggi mengadakan aktiviti di inap desa bagi merasai pengalaman serta suasana kehidupan di kampung dan kawasan luar bandar.

Usaha itu bukan sahaja dapat menjana pendapatan kepada pengusaha inap desa malah dapat menambah ilmu pengetahuan kepada pelajar selain dapat berkongsi peristiwa menarik yang diperoleh semasa menginap di kampung.

“Cara ini dapat mempromosikan lagi konsep inap desa sebenar melalui testimoni yang dikongsi di laman sosial atau sekolah dan pengajian tinggi terbabit.

“Bagaimanapun kerajaan juga perlu memainkan peranan mempromosikan inap desa ini bagi memastikan sektor pelancongan berasaskan komuniti ini tidak ketinggalan berbanding sektor lain yang lebih menyerlah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :