Teresa Kok Suh Sim (kanan) pada majlis perasmian Kempen Sayangi Sawitku peringkat Negeri Sabah di Teck Guan Cocoa Village, Bukit Qouin pada 22 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Teresa: Pameran kempen Sayangi Sawitku diperluas

KOTA KINABALU, 24 FEB: Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh Kim berkata pameran kempen Sayangi Sawitku akan diperluas di semua lapangan terbang yang menjadi laluan utama pelancong di seluruh negara.

Beliau berkata kempen berkenaan bertujuan untuk mempamerkan contoh-contoh produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit untuk pengetahuan semua di samping mengetengahkan usaha-usaha kerajaan dalam memastikan kemampanan industri sawit negara termasuk dalam pemuliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

“Ruang pameran ini juga akan membantu meningkatkan pengetahuan para pelancong sebagai pengguna minyak sawit negara serta menyokong aktiviti pelancongan, termasuk dalam sektor ekopelancongan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran Kempen Sayangi Sawitku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, di sini malam tadi.

Beliau berkata walaupun industri sawit banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara, namun industri ini terus dikaitkan dengan penebangan hutan dan kemusnahan biodiversiti alam sekitar.

“Kempen antiminyak sawit yang didasari fakta-fakta yang tidak betul berhubung dengan industri sawit serta perlindungan perdagangan di Kesatuan Eropah (EU) telah mengundang dan menyebabkan Parlimen Eropah untuk mencadangkan pemberhentian penggunaan biofuel yang berasaskan sawit dalam sektor pengangkutan EU menjelang 2030.

“Seperti sedia maklum, minyak sawit adalah saingan utama kepada minyak sayuran lain di pasaran antarabangsa termasuk minyak sayuran keluaran EU. Dalam hal ini, minyak sawit sentiasa menjadi sasaran kerana ia lebih baik dari segi produktiviti dan lebih serba boleh untuk digunakan dalam makanan dan bukan makanan berbanding minyak sayuran yang lain,” tambahnya.

Kok berkata faedah kesihatan dan kebaikan minyak kelapa sawit telah terbukti secara saintifik oleh pelbagai klinikal kajian yang dilakukan oleh saintis dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan juga institusi penyelidikan terkenal di seluruh dunia.

“Kesemua penyelidikan saintifik mendapati bahawa minyak sawit mempunyai manfaat kesihatan yang lebih tinggi selain dapat meningkatkan kesihatan umum pengguna. Minyak Sawit didapati kaya dengan vitamin A dan E, beta karoten, bebas asid lemak trans, bebas kolesterol, dan kandungan asid oleik yang tinggi, yang merupakan sumber nutrien yang baik dan selamat untuk pengguna,” katanya.

“Oleh itu kita mesti mempromosikan manfaat positif minyak sawit negara sebagai minyak sawit mapan lima bintang untuk dunia,” katanya,

– BERNAMA


Pengarang :