Selangorkini
AGENDA NASIONAL

TH hanya jual harta yang tidak menguntungkan – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 18 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan Lembaga Tabung Haji (TH) hanya jual beberapa harta miliknya yang tidak menguntungkan sahaja.

Beliau berkata ada cara lain untuk melabur bagi mendapatkan keuntungan yang lebih baik.

“Ada beberapa hartanya yang tidak berguna, tidak memberikan pulangan, oleh itu mereka (TH) perlu keluar daripadanya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak terhadap kerajaan yang dilihat seolah-olah tidak menjaga kepentingan kaum Muslim susulan timbul laporan bahawa operasi hotel-hotel milik TH telah dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ).

TH dan UJ dalam satu kenyataan hari ini berkata hotel-hotel berkenaan akan terus berada di bawah pengurusan baharu tanpa pemberhentian pekerja.

Seluruh petugas pengurusan dan pekerja rangkaian hotel itu, yang sebelum ini diuruskan oleh TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR), akan diambil alih oleh UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM), subsidiari milik penuh UJ, mulai 1 April.

Menurut kenyataan itu keempat-empat hotel berkenaan, yakni TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel and Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel and Convention Centre Kuala Terengganu; akan kekal sebagai hotel patuh syariah, dan akan dinamakan sebagai Raia Hotel bermula bulan April.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan rakyat Malaysia memohon suaka di Australia.

“Kita akan dapatkan maklumat lebih sebelum kita bertindak,” katanya ringkas.

Sebuah portal berita yang memetik akhbar Sydney Morning Herald (SMH), melaporkan kira-kira satu perempat daripada pemohon suaka yang terbang ke Australia bulan lepas ialah rakyat Malaysia.

Menurut laporan itu, angka dibentangkan di Parlimen Australia menunjukkan sejumlah 546 rakyat Malaysia adalah antara 1,931 pemohon suaka yang tiba di negara berkenaan menggunakan pengangkutan udara.

– BERNAMA


Pengarang :