AGENDAGLOBAL

Thailand nafi lindungi skandal 1MDB, ancam ambil tindakan

BANGKOK, 25 FEB: Kerajaan Thailand mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap parti pembangkang yang dibubarkan, Parti Future Forward (FFP) kerana menuduh Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha membantu menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Prayuth berkata semua agensi berkaitan mempunyai maklumat dan bukti, namun belum boleh didedahkan.

“Tuduhan itu melibatkan ramai (orang). Agensi yang berkaitan sedang menyiasat dan mengumpul semua maklumat diperlukan untuk membolehkan tindakan undang-undang diambil.

“Kami ada bukti untuk menjelaskan perkara itu. Saya fikir adalah lebih baik untuk mendedahkannya mengikut prosedur undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan kabinet semalam.

Semalam, jurucakap FFP Pannika Wanich pada sidang akhbar mendakwa Prayuth bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak melibatkan pemberi maklumat Xavier Andre Justo berhubung kes 1MDB pada 2015.

Pannika juga menuduh kerajaan Thailand melindungi dalang utama skandal 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low – antara Oktober 2016 dan Mei 2018 ketika dia memasuki negara itu sebanyak lima kali – walaupun disenarai dalam notis merah Interpol oleh Singapura.

Terdahulu, jurucakap kerajaan Thailand, Profesor Narumon Pinyosinwat menyelar tindakan Pannika itu, mengatakan ia tuduhan tidak berasas dan boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Kementerian berkaitan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :