Jurulatih sambilan sukan angkat berat di Majlis Sukan Negara (MSN) Pulau Pinang M Thanabalasingam (tengah) memberi latihan kepada anaknya Logassree, 17, sambil diperhatikan oleh anak bongusnya Thurgashree, 13, (kanan). Foto BERNAMA
RENCANA WAWANCARA

Thanabalasingam tekad lahir juara dunia sukan angkat berat

Oleh Nur Adila Abdul Wahab

BUKIT MERTAJAM, 7 FEB: M. Thanabalasingam cukup bersemangat ketika bercerita mengenai sukan angkat berat dan impian beliau hanya satu iaitu melahirkan juara dunia untuk Malaysia.

Bagi beliau, Malaysia mampu melahirkan juara dunia angkat berat jika atlet diberikan latihan intensif yang betul selain mengamalkan makanan yang sihat dan seimbang.

Thanabalasingam merupakan jurulatih sambilan sukan angkat berat di Majlis Sukan Negara (MSN) Pulau Pinang sejak 2002.

Atas keyakinan tinggi terhadap kebolehan atlet negara, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Thanabalasingam, 47, giat melatih secara intensif individu termasuk dua anak perempuannya untuk mencipta pelbagai kejayaan sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

Menurut beliau, anak perempuannya, Logassree, 17, dan Thurgashree, 13 tahun dilatih secara intensif untuk mencipta rekod MBOR dan menyertai sukan angkat berat, sejak usia kanak-kanak.

Anak lelaki sulungnya T. Thirilohgan, 21, juga dilatih untuk sukan angkat berat, namun terpaksa memberi fokus kepada kerjayanya sebagai jurutera.

“Walaupun gaji sebagai jurulatih sambilan MSN hanya RM450, tapi saya melatih atlet bukan untuk gaji sebaliknya mahu melahirkan seorang juara dunia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Wisma Angkat Berat, Bukit D.O., di Bukit Mertajam baru-baru ini.

LATIH ANAK PEREMPUAN DALAM SUKAN ANGKAT BERAT

Mengimbau kejayaan anak-anaknya, Thanabalasingam berkata pada tahun 2007 ketika berusia lima tahun Logassree berjaya mencatat rekod larian terpantas sejauh 5.1 kilometer dalam tempoh 31 minit.

Thurgashree pula ketika berusia tiga tahun berjaya mencipta rekod MBOR dengan melakukan sebanyak 1,111 kali bangkit tubi dalam tempoh 31 minit.

“Anak-anak saya ini menjalani latihan intensif selama lapan bulan untuk mencipta rekod ini. Saya tak boleh latih anak orang lain atau atlet yang tidak mampu kerana latihan ini sememangnya dilakukan secara bermati-matian,” kata Thanabalasingam yang mendapat latihan sukan angkat berat daripada Master Ng Chau Seng yang juga pemenang empat kali pingat emas Kejohanan Angkat Berat World Masters.

Berpegang pada keyakinan tinggi, anak perempuan beliau kini menjadi atlet angkat berat mewakili Pulau Pinang dalam pelbagai pertandingan.

Logassree juga pernah merangkul pingat emas dalam acara clean and jerk pada Kejohanan Angkat Berat Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di Sarawak dan menang pingat gangsa dalam acara sama pada Sukma 2018 di Perak.

Beliau berkata, Logassree juga pernah menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa seperti Youth Commenwealth Games pada tahun 2016 dan Singapore World Championship pada tahun 2019.

Kini, Logassree sedang mempersiapkan diri untuk menghadapi Sukma 2020 di Johor, Julai depan.

Isteri beliau, S. Kali, 40 merupakan tulang belakang kedua-dua anak perempuannya dan sentiasa memberi sokongan padu untuk anak-anak mereka melibatkan diri dalam sukan angkat berat.

“Ïsteri saya menjadi orang penting dalam mengawal pemakanan anak-anak dan sentiasa memastikan mereka mengambil makanan berkhasiat sebelum menyertai pertandingan,” jelas Thanabalasingam yang mula mengikuti latihan kejurulatihan bagi sukan angkat berat pada 1999.

SALAH TANGGAPAN

Mengakui sukan angkat berat kurang popular berbanding bola sepak dan badminton, Thanabalasingam berkata di Malaysia sukan angkat berat sukar mendapat atlet pelapis disebabkan persepsi bahawa sukan ini boleh menyebabkan ketinggian atlet terbantut (menjadi pendek), kerdil dan badan akan berubah bentuk dan sebagainya.

Penglibatan wanita dalam sukan angkat berat juga masih kurang kerana ia dikatakan sukan berbahaya, sukar dan sukan membina badan.

Berikutan itu, ramai ibu bapa kurang memberi galakan kepada anak-anak mereka terutamanya wanita kerana bimbang bentuk tubuh anak perempuan mereka akan berubah seperti lelaki.

“Banyak orang dapat konsep yang salah dan pencarian bakat baharu di sekolah, kadang-kadang dapat maklum balas yang bagus dan kadang-kadang tiada sambutan,” katanya sambil mengakui bahawa publisiti mengenai sukan angkat berat juga kurang.

LATIH IKUT RUSIA & BULGARIA

Menurut Thanabalasingam, beliau banyak mengaplikasikan sistem latihan angkat berat dari Rusia dan Bulgaria yang melatih atlet menjadi lebih kuat dan tahan lasak.

“Latihan angkat berat dari dua negara ini, paling susah berbanding negara lain. Kaedah latihan fizikalnya akan menjadikan atlet lebih kuat dan tahan lasak,” katanya yang bekerja sepenuh masa sebagai penyelia sebuah syarikat logistik di Butterworth.

Menurut Thanabalasingam, walaupun latihan melibatkan kekuatan fizikal sepenuhnya, namun dengan teknik yang betul ia dapat mengelakkan atlet angkat berat daripada mengalami kecederaan.

“Sejak dari awal, sistem latihan kena betul. Kita latih atlet dengan cara yang sukar agar badan mereka selesa. Kemudian atlet perlu lakukan banyak latihan fizikal sebelum berlatih angkat bebanan,” katanya sambil menambah selepas fasa ini, latihan mengangkat bebanan dimulai dengan bebanan dua kilogram, kemudian meningkat ke empat kilogram dan seterusnya bebanan yang lebih berat.

“Sukan ini memang berbahaya, begitu juga dengan sukan lain. Tapi dengan kaedah latihan yang betul, kecederaan pada atlet dapat dielakkan,” katanya.

TERUSKAN LEGASI KELUARGA

Thanabalasingam yang membesar dalam keluarga atlet, menjadikan abang sulungnya mendiang M. Saundarajan, sebagai idola kerana banyak memberi dorongan, nasihat dan sokongan padanya.

Beliau juga sering mengikuti latihan angkat berat yang dijalankan oleh mendiang yang juga seorang anggota polis.

“Keluarga saya memang mempunyai latar belakang sukan. Bapa, abang dan adik-beradik semua terlibat dalam sukan seperti angkat berat, tinju, gusti dan bina badan.

“Sejak dari kecil, saya sudah berlatih dalam sukan angkat berat, tetapi zaman itu tiada pertandingan angkat berat untuk kanak-kanak dan remaja, jadi saya sertai sukan karate,” katanya.

Namun, pada 1999 barulah Thanabalasingam mula serius dalam latihan angkat berat dan belajar untuk menjadi jurulatih angkat berat, lebih-lebih lagi selepas bertemu dengan sahabat baik mendiang abangnya yang terus memberikan dorongan.

Selain angkat berat, Thanabalasingam turut menjalankan latihan kecerdasan kepada belia di Pulau Pinang. Pada Julai 2019, tiga daripada belia terbabit berjaya mencipta rekod baharu dalam MBOR.

G. Omprekash, 24, berjaya mencipta dua rekod dalam acara Tarik Kenderaan Jarak Jauh Dengan Jari Kelingking (Lelaki) sejauh 86.5 meter dan Angkat Berat Menggunakan Dua Jari Tengah (Lelaki) seberat 91kg.

Dua lagi rekod baharu berjaya dicipta ialah menerusi Boo Chai Yee, 24, dan Seah Zhang Yu, 23, masing-masing dalam senaman ‘burpees’ Terbanyak Dalam Satu Minit (Wanita) dengan jumlah 33 ‘burpees’ dan acara Lompat Katak 400 Meter Terpantas (Lelaki) dalam masa enam minit 53 saat.

Justeru, Thanabalasingam berkata beliau bersedia untuk melatih atlet angkat berat negara bagi mendapat tempat di peringkat dunia sekali gus menjadi juara dunia.

“Kalau nak mencari juara dunia kita tak boleh melatih ramai atlet, kena fokus pada seorang atlet yang benar-benar ada potensi.

“Contohnya seperti pemain badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei dan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David,” katanya sambil menambah juara dunia ini dilatih secara berasingan dan jurulatih hanya fokus pada mereka sehingga bergelar juara dunia.

– BERNAMA


Pengarang :