Selangorkini
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Jamil Rakon (tengah) menyaksikan Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador (kanan) menandatangani plak perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur dan Balai Polis Pantai pada 19 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tiada bukti juruterbang MH370 dalam misi bunuh diri

KUALA LUMPUR, 19 FEB: Belum ada bukti yang kukuh bahawa juruterbang pesawat MH370 berkemungkinan melakukan pembunuhan beramai-ramai dan membunuh diri seperti didakwa bekas perdana menteri Australia, Tony Abbott, kata Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata perkara itu adalah berdasarkan siasatan yang dilakukan pihaknya dengan mengambil pelbagai sudut siasatan berikutan kehilangan pesawat milik Malaysia Airlines itu.

“Selagi rangka kapal terbang berkenaan (MH370) tidak ditemui, punca sebenar kehilangan pesawat itu tidak boleh dimuktamadkan.

“Sehingga kini, kami masih tidak menemui sebarang rangka kapal terbang itu, apatah lagi menemui manusia yang menjadi penumpang pesawat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Penggantian Lif di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Abdul Hamid berkata beliau tidak mengetahui siapa pegawai tertinggi Malaysia yang dimaksudkan oleh Abbott dalam pendedahan yang dibuatnya menerusi program dokumentari antarabangsa.

“Di pihak kita waktu itu, saya sendiri terlibat dalam siasatan kehilangan MH370 dan kami menyiasat daripada kesemua aspek termasuk dari segi keganasan, ‘hijack’ (rampas) oleh pihak tertentu serta pelbagai teori lain menggunakan teknologi canggih sehingga banyak fakta sudah terkumpul,” katanya.

Beliau berkata Abbott berhak menyatakan pendirian berdasarkan maklumat yang diterimanya kepada media.

“Itu privileges (keistimewaan) beliau sebagai perdana menteri pada ketika itu, jika beliau hendak kongsi kepada media apa yang dibualkan dengan pegawai atasan Malaysia itu terpulang kepadanya.

“Saya di pihak polis tidak boleh memberi sebarang komen selagi pesawat MH370 tidak ditemui berdasarkan undang-undang malah kami bersedia membuka semula kertas siasatan jika rangka pesawat itu ditemui,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Abbott yang menjawat jawatan Perdana Menteri pada 2014 ketika tragedi itu dipetik berkata pegawai ‘berpangkat tertinggi’ Malaysia memaklumkan kepadanya kehilangan pesawat MH370, disebabkan tindakan bunuh diri dan pembunuhan beramai-ramai oleh juruterbang pesawat berkenaan.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

– BERNAMA


Pengarang :