Pasukan UiTM FC diperkenalkan bagi saingan Liga Super musim 2020 di Intekma Resort Seksyen 7, Shah Alam pada 21 Februari 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Tiada masalah komunikasi pemain, jurulatih UiTM FC

SHAH ALAM, 21 FEB: Pemain UiTM FC tidak menghadapi masalah komunikasi dengan pembimbing pasukan, Frank Bernhardt sepanjang tempoh mempersiapkan diri bagi mengharungi Liga Super musim 2020, kata presidennya.

Prof Dr Azizan Abdullah berkata pengalaman luas dimiliki jurulatih dari Jerman mampu mengangkat prestasi skuad The Lion Troops yang majoritinya dibarisi pemain muda ke tahap lebih baik berbanding penglibatan dalam Liga Perdana sebelum ini.

“Beliau (Frank) sudah terbiasa dengan pemain Malaysia dan mengambil masa singkat untuk berinteraksi dengan baik.

“Malah, sejak membawa pasukan untuk perlawanan pra musim menentang Chonburi FC di Bangkok, Thailand, kita lihat ada peningkatan mendadak dalam kalangan pemain melalui teguran dan input diberikan,” katanya pada majlis pelancaran jersi dan pengenalan pemain pasukan terbabit di Intekma Resort di sini hari ini.

Presiden UiTM FC Prof Dr Azizan Abdullah. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

UiTM FC memperkenalkan dua jersi baharu bagi saingan Liga Malaysia musim ini iaitu merah sebagai tuan rumah dan biru (tempat lawan).

Majlis sama menyaksikan pasukan itu menerima sijil daripada Malaysia Book of Records kerana melakar sejarah liga bola sepak tempatan menjadi pasukan institusi pengajian tinggi pertama beraksi dalam Liga Super.

Sementara itu, Frank yang juga bekas jurulatih skuad bola sepak kebangsaan Bawah 23 percaya terhadap kemampuan UiTM FC memulakan kempen dengan langkah kanan menentang Melaka United pada 29 Februari ini.

“Peluang menang dalam perlawanan ini sangat tinggi dan saya akan melihat sejauh mana cabaran dihadapi pemain. Pasukan sudah membuat persiapan rapi dan perlu berjuang sebaik mungkin untuk berada sekurang-kurangnya dalam kelompok lapan terbaik liga,” katanya.


Pengarang :