AGENDABERITA UTAMAEKONOMI

Tingkat belanja rakyat, kerja belia kukuhkan ekonomi

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerajaan perlu menumpukan usaha mewujudkan lebih banyak pekerjaan untuk belia selain menyediakan peruntukan lebih besar kepada B40 dan M40 bagi meningkatkan perbelanjaan dalam kalangan rakyat, yang akan membantu memperkukuh semula ekonomi negara, kata seorang penganalisis di bank pelaburan.

Beliau berkata kerajaan perlu mencontohi inisiatif kerajaan Indonesia dalam menggalakkan rakyatnya berbelanja ketika ekonomi mengalami kelembapan.

“Menerusi pemberian tunai ke dalam poket mereka, terutama belia, ini sebenarnya dapat membantu kerajaan untuk memperkukuh semula ekonomi ini.

“Tetapi pada masa sama, saya lebih menekankan aspek kadar guna tenaga pekerjaan, yang sangat tinggi,” katanya kepada Bernama.

Data menunjukkan kadar pengangguran belia di Malaysia adalah 11.9 peratus pada 2009, susut kepada 9.7 peratus pada 2011 dan mencecah 10.9 peratus pada 2018, lebih daripada tiga kali ganda kadar pengangguran nasional iaitu sebanyak 3.3 peratus.

“Sebelum ini kita mempunyai skim mewujudkan lebih banyak pekerjaan contohnya dalam sektor telekomunikasi dan perbankan, namun kini jumlah skim ini semakin mengecil. Kita berada dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, anda sudah menghasilkan bakat, tetapi ke mana mereka pergi?,” katanya.

Beliau juga menegaskan penting untuk kerajaan menstabilkan ekonomi terlebih dahulu sebelum melaksanakan campur tangan monetari (pengurangan kadar faedah) selain menangguhkan mekanisme apungan harga petrol.

Langkah lain untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna adalah dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengurangkan caruman pekerja, dan secara keseluruhannya pengguna akan mempunyai lebihan wang sekurang-kurangan RM5 bilion dalam poket mereka.

Kerajaan sebelum ini telah menggunakan kaedah yang sama untuk merangsangkan ekonomi pada 2009, 2013 dan 2016, apabila KWSP menurunkan kadar caruman pekerja daripada 11 peratus kepada lapan peratus berasaskan pilihan.

Kelmarin, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara berkembang 3.6 peratus pada suku keempat 2019, menjadikan pertumbuhan KDNK tahun penuh kepada 4.3 peratus, terendah sejak krisis kewangan 2009 berikutan gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata walaupun pertumbuhan tahun penuh dalam unjuran BNM di antara 4.3 dengan 4.8 peratus, ia boleh menjadi lebih tinggi pada 4.7 peratus tanpa gangguan bekalan dalam sektor komoditi.

Sehubungan itu pakar ekonomi tersebut berkata bagi pertanian, pengurangan kos baja oleh penanam telah menyebabkan pengeluaran lebih rendah, sementara isu penawaran dan permintaan komoditi di China dan India juga memberi kesan kepada sektor ini.

“Saya menjangkakan pertanian terus menyeret turun ekonomi pada 2020 namun saya tidak bimbang mengenai perlombongan dan pertanian kerana kedua-dua sektor ini menyumbangkan kira-kira 14 peratus kepada ekonomi. Lebih penting lagi, enjin pertumbuhan kita sebenarnya adalah perkhidmatan dan pembuatan yang merupakan kira-kira 80 peratus daripada KDNK.

“Apa yang kita khuatir adalah penularan jangkitan koronavirus 2019 (Covid-19) yang boleh memberi kesan kepada perbelanjaan sektor pelancongan, runcit dan perkilangan walaupun ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China telah reda, tidak pulih sepenuhnya,” katanya

Beliau mengunjurkan KDNK setahun penuh 2020 pada 4.4 peratus susulan wujudnya ketidaktentuan.

-BERNAMA


Pengarang :