Selangorkini
Beberapa individu yang menaiki sebuah bas dilihat gembira selepas dibenarkan pulang dari pusat pemantauan (HSC), Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) hari ini. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

TPM lega rakyat Malaysia dibenar keluar pusat pemantauan

PUTRAJAYA, 18 FEB: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melahirkan rasa lega apabila kesemua rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Feb lepas ekoran ancaman Covid-19 dibenarkan keluar daripada pusat pemantauan.

“Bagi saya ini satu berita gembira,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian dan penyerahan tajaan Kumpulan Sunway bagi penubuhan SunwayForGood Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara di Hospital Seberang Jaya, di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam kenyataannya Selasa berkata semua 107 individu terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang dibawa pulang dari Wuhan, China melalui Misi Bantuan Kemanusiaan pada 4 Februari lepas dibenarkan keluar setelah menamatkan tempoh pemantauan 14 hari di pusat pengawasan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT).

Sehingga Selasa, jumlah kes positif terkumpul Covid-19 di Malaysia ialah 22 dengan hanya 11 pesakit masih dirawat di wad sementara 11 lagi sudah dibenarkan pulang.

Sementara itu ditanya sama ada kerajaan akan membawa pulang dua rakyat Malaysia disahkan positif Covid-19 di atas kapal Diamond Princess yang berlabuh dan sedang dikuarantin di Pelabuhan Yokohama, Jepun, Dr Wan Azizah berkata mereka akan dirawat di Jepun.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi catatan di Facebook rasmi miliknya hari ini berkata, terdapat dua rakyat Malaysia yang disahkan positif Covid-19 dan dua lagi masih menunggu keputusan ujian Covid-19 di atas kapal berkenaan.

Kedua-dua mereka yang positif sedang dirawat di Jepun.

“Kapal persiaran Diamond Princess yang sedang dikuarantin, mencatatkan kes kluster terbesar di luar China dengan lebih 400 orang yang diuji disahkan positif,” kata Dr Noor Hisham lagi.

Semalam, media melaporkan sebanyak 455 penumpang kapal itu disahkan positif Covid-19.

– BERNAMA


Pengarang :