Sebahagian pelancong menggunakan pelitup muka bagi mencegah jangkitan Covid-19 ketika tinjauan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 pada 27 Januari 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

TPM: Malaysia masih selamat dikunjungi

GEORGE TOWN, 16 FEB: Rakyat diseru untuk bersama-sama memberikan mesej positif, bahawa Malaysia masih selamat dikunjungi walaupun negara kini berdepan penularan Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata permulaan tahun ini agak mencabar khususnya untuk sektor pelancongan dan kerajaan sedang merangka pelbagai strategi bagi membantu industri itu.

“Sehingga hari ini, kerajaan persekutuan masih melaksanakan penganjuran acara atau program serta aktiviti membabitkan orang ramai.

“Namun, kita perlu sentiasa berwaspada dengan mengambil langkah perlindungan diri serta kesiapsiagaan seperti saranan Kementerian Kesihatan dalam menangani penularan tersebut,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Tahun Baharu Cina 2020 di Padang Kota Lama, di sini malam tadi.

Pada masa sama, beliau turut menasihati rakyat untuk tidak menyebarkan dan mempercayai berita tidak benar atau maklumat palsu di media sosial yang menimbulkan kesan buruk seperti perasaan panik serta pergaduhan.

Sebaliknya, masyarakat digalakkan sentiasa merujuk portal ‘sebenarnya.my’ bagi mendapatkan maklumat terkini yang sahih daripada sumber rasmi kerajaan.

Katanya, dalam usaha menangani persepsi negatif terhadap penularan Covid-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Pemulihan Pelancongan bagi merangka strategi pemulihan industri pelancongan negara yang terkesan dengan keadaan itu.

Selain itu, Motac turut merangka strategi jangka masa pendek untuk pasaran jarak dekat negara ASEAN, sebagai kempen alternatif untuk pemulihan industri pelancongan negara.

-BERNAMA


Pengarang :