Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melihat baju cenderamata untuk jualan sempena APEC 2020 semasa melawat ruang pameran selepas merasmikan Simposium Mengarusperdanakan Gender dan Memperkasakan Wanita bagi Memerangi Rasuah pada 11 Februari 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TPM: Wanita main peranan penting perangi rasuah

PUTRAJAYA, 11 FEB: Wanita memainkan peranan penting membantu kerajaan untuk memerangi rasuah di negara ini, kata timbalan perdana menteri.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia terbukti apabila Latheefa Koya mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memerangi kegiatan itu.

“Di Malaysia, saya dengan penuh rasa bangga ingin kongsikan bahawa kita juga mempunyai tiga wanita pemberi maklumat daripada Jabatan Ketua Audit Negara yang wajar dicontohi,” katanya semasa merasmikan Simposium Mengarusperdanakan Gender dan Memperkasakan Wanita bagi Memerangi Rasuah di sini.

Mereka ialah bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad, bekas Pengarah Prestasi Audit Saadatul Nafisah Bashir Ahmad dan Pengarah Audit Datuk Nor Salwani Muhammad.

Ketiga-tiga wanita ini merupakan saksi utama SPRM dalam kes rasuah berprofil tinggi, katanya.

Dr Wan Azizah berkata pewujudan ruang yang jelas bagi pemberi maklumat dan ruang selamat untuk wanita melaporkan rasuah dengan saluran untuk menangani sebarang insiden merupakan tunjang kepada usaha dan inisiatif itu.

“Soalan yang lebih mendalam yang perlu ditanya adalah adakah kita melakukan yang terbaik untuk memastikan wanita daripada semua lapisan masyarakat mempunyai keupayaan berada di barisan hadapan dan menjadi tonggak dalam masyarakat kita untuk memerangi rasuah,” katanya.

Dr Wan Azizah turut menyentuh kesan teruk rasuah terhadap wanita, bagaimana wanita boleh memainkan peranan aktif dalam memerangi rasuah dalam masyarakat dan peranan Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dalam memperkasakan wanita untuk memerangi rasuah.

“Cara pertama untuk memerangi rasuah adalah dengan membina ekosistem, antaranya hak orang ramai untuk akses kepada maklumat, kebebasan bersuara, perlindungan undang-undang, mewujudkan mekanisme untuk melaporkan rasuah, penerimaan aduan dan mewujudkan undang-undang pencegahan rasuah,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Pakatan Harapan komited membanteras rasuah dan usaha itu membuahkan hasil.

“Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah 2019 meningkat 10 mata tangga ke tempat 51 berbanding pada tahun sebelumnya.

“Kita (Malaysia) mencatatkan 53 mata berbanding 47 mata dalam indeks 2018. Naik lebih tiga mata dianggap satu peningkatan signifikan,” kata Dr Wan Azizah.

Menyentuh peranan media, beliau berkata media yang bebas dan bertanggungjawab perlu dibenarkan untuk menyiasat, melaporkan dan menerbitkan berita tentang rasuah.

“Malaysia mencatatkan pencapaian positif dalam kebebasan media dan kami sedang mendraf rang undang-undang bagi penubuhan Majlis Media Kebangsaan untuk meningkatkan lagi integriti dan kebebasan media kita,” katanya.

Simposium itu diadakan bersempena dengan mesyuarat pegawai kanan dan mesyuarat berkaitan Kerjasama APEC yang dihoskan Malaysia.

-BERNAMA


Pengarang :