Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Mohd Rashidi Ruslan bersama juara Festival Buskers 2020, Uncle sempena sambutan ulang tahun bandar raya Shah Alam ke-20 di SACC Mall, Shah Alam pada 23 Februari 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Uncle akui cabaran tonjol lagu ikut trend semasa

SHAH ALAM, 24 FEB: Juara Festival Buskers 2020, kumpulan Uncle mengakui cabaran ditempuh bagi menonjolkan genre muzik berbeza seiring peredaran semasa setiap kali mengadakan persembahan di khalayak ramai.

Vokalisnya, Adzrin Adzhar, 35, berkata arena muzik tempatan agak berbeza jika dibanding negara luar yang menyediakan ruang cukup selesa kepada penghibur jalanan untuk menonjolkan diri melalui lagu dengan kebanyakannya memiliki pengikut tersendiri.

“Matlamat utama kita menghibur di lokasi busking untuk mendapatkan sumbangan orang ramai memandangkan ia memang ke arah itu (sumbangan). Namun, kita tidak boleh jangkakan lebih daripada orang ramai.

“Disebabkan itu, sampai sekarang saya tidak tahu apa pendengar mahukan kerana muzik di Malaysia terlalu mengikut trend. Misalnya, masa kini popular dengan genre hiphop berbanding dahulu ramai menggemari rock kapak,” katanya yang juga guru bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kota Kemuning.

Uncle di bawah naungan Malaysian Buskers Club (MYBC) ditubuhkan kira-kira empat tahun lalu dan Adzrin mengakui sukar membentuk keserasian dalam kalangan anggotanya yang kerap berubah sepanjang tempoh berkenaan.

“Bagaimanapun ia bukan halangan untuk menampilkan bakat di persada muzik arus perdana. Kami ada banyak lagu ciptaan sendiri yang kebanyakannya praktis untuk persembahan busking sahaja tetapi pernah terfikir untuk merakamkannya supaya dapat pergi lebih jauh,” katanya yang sudah menghasilkan lebih 50 koleksi lagu.

Terdahulu, Uncle dianggotai Megat (pemain drum), Shuk (pemain gitar) dan Apen (pemain bass) mempertaruhkan lagu Tenang pada peringkat akhir festival julung kali anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam, sekali gus muncul juara dan memperoleh hadiah wang tunai RM5,000 berserta peluang merakam single.

Acara di pusat beli-belah SACC di sini pada Sabtu dan Ahad lalu menyaksikan
Reksub di tempat kedua dan Bujang Kapok (ketiga) manakala vokal terbaik dan lagu pilihan juri masing-masing menjadi milik kumpulan Reksub serta ‘A Few Dollars More’.


Pengarang :