Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

UniKL rangkul gelaran ‘treble’ musim 2020

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Dua gol pantas dalam tempoh seminit menyaksikan pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meraih gelaran ‘treble’ musim ini selepas menundukkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 2-1 pada saingan akhir Piala TNB 2020, di sini, malam tadi.

Keputusan itu menutup musim yang cemerlang kepada jurulatih UniKL, Arul Selvaraj, selepas mengekalkan rekod tanpa kalah serta menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL).

Bagaimanapun, UniKL terpaksa berhempas pulas untuk menembusi benteng pertahanan THT yang dikemudikan oleh pemain import Korea Selaran, Jang Jon-hyun.

Malah, THT membuka tirai jaringan pada minit ke-13 menerusi penyerang Nabil Fikri Mohd Noor menerusi percubaan pukulan sudut penalti.

UniKL sebagai pasukan terbaik dengan rekod 14 perlawanan tanpa kalah dalam saingan liga, tidak patah semangat untuk terus berjuang pada aksi separuh masa kedua.

Kelekaan benteng pertahanan THT pada minit ke-48 membawa padah apabila Mohd Faid Farhahd Mohamad Shah dan pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jali melakukan gerakan kilat untuk melakukan jaringan padang dalam tempoh seminit.

“Ini adalah kenangan paling manis untuk menang tiga piala serta mengekalkan rekod bersih musim ini. Tahun depan, kita perlu buat persiapan awal untuk meningkatkan prestasi.

“Semua tahu nak memang lebih mudah dari nak pertahankan kejuaraan. Namun secara keseluruhan saya rasa pasukan UniKL telah bermain dengan baik sepanjang musim,” kata Arul selepas perlawanan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

-BERNAMA


Pengarang :