Perkhidmatan ECRL menghubungkan negeri Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan Lembah Klang.
AGENDA NASIONAL

Wabak Covid-19, ECRL tidak terjejas – Anthony

PELABUHAN KLANG, 13 FEB: Pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih berjalan mengikut jadual yang ditetapkan walaupun dunia sedang dilanda penularan virus Covid-19 sehingga menyebabkan banyak projek melibatkan negara China terjejas.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata setakat ini projek landasan kereta api yang bakal menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan itu telah siap 15 peratus siap seperti yang dijadualkan.

Beliau berkata 13 pekerja ECRL warganegara China yang pulang ke negara itu bagi menyambut Tahun Baharu Cina bulan lepas juga belum kembali ke Malaysia tetapi ketiadaan mereka tidak menjejaskan proses pembinaan ECRL kerana kebanyakan pekerja terdiri daripada rakyat tempatan.

“Pihak kami juga tidak menerima permohonan daripada syarikat pembiaya iaitu Export-Import Bank of China (EXIM) untuk menangguhkan pembayaran dana terhadap projek ini. Kita yakin ECRL akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari 2027,” katanya selepas melawat tapak pameran Pemeriksaan Awam Projek ECRL di Lembaga Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Turut hadir semasa lawatan itu Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Ismail Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abd Razak.

Anthony berkata, pembinaan projek ECRL itu juga dilihat akan melengkapi Dasar Pengangkutan Negara seperti mana azam kerajaan yang mahu meningkatkan pergerakan kargo menggunakan laluan kereta api berbanding jalan raya.

“Selain dapat mengurangkan jumlah kenderaan berat di atas jalan raya, ECRL ini kelak juga akan menghubungkan dua buah pelabuhan di Pelabuhan Klang iaitu Pelabuhan Barat dan Pelabuhan Pulau Carey yang akan dibangunkan kelak,” katanya.

Projek ECRL disambung semula setelah perjanjian tambahan antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd dimeterai pada 12 April 2019 yang menyaksikan pengurangan kos projek sebanyak RM21.5 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion.

– BERNAMA


Pengarang :