Covid-19 mencetuskan kebimbangan seluruh dunia akibat penularannya yang cepat. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wanita warga emas mangsa terbaharu koronavirus

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Seorang wanita tempatan berusia 65 tahun menjadi individu terbaharu positif koronavirus 2019 menjadikan angka keseluruhan jangkitan dalam negara  hari ini berjumlah 17 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata wanita berkenaan merupakan ibu mertua kepada kes warganegara Malaysia yang dilaporkan pada 4 Februari 2020 iaitu kes kesembilan.

Menurutnya, wanita berkenaan mempunyai beberapa penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, lumpuh separuh badan, seorang pesakit jantung yang menggunakan perentak jantung serta pergerakan yang terhad.

Katanya, wanita itu mempunyai kontak langsung dengan kes kesembilan, semasa duduk semeja bagi beberapa jamuan makan sempena sambutan Tahun Baharu Cina bersama ahli keluarga yang lain, dari 26 sehingga 28 Januari lepas.

“Sepanjang 29 Januari hingga 4 Februari, mangsa memaklumkan hanya berada di rumah. Bagaimanapun, pada 5 Februari beliau mengadu kurang sihat, iaitu mengalami pening kepala, berpeluh dan tidak bermaya tetapi tiada demam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata wanita terbabit telah dibawa untuk mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di salah sebuah hospital swasta dan dibenarkan pulang ke rumah dengan temu janji susulan pada 7 Februari.

“Sebaik menantunya, iaitu kes kesembilan dikesan positif koronavirus, beliau telah dijejaki pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Hasil siasatan mendapati beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke negara China. Sebagai sebahagian daripada aktiviti siasatan, sampel telah diambil daripada beliau dan ahli keluarga yang lain.

“Ujian pengesanan dan pengesahan koronavirus yang dijalankan ke atasnya telah dilaporkan positif pada 8 Februari (semalam) manakala bagi lain-lain ahli keluarganya adalah negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata wanita itu telah dimasukkan ke wad isolasi di Hospital Sungai Buloh dan berada dalam keadaan stabil dan aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Menantu wanita itu merupakan rakyat Malaysia pertama disahkan positif koronavirus pada 4 Februari lalu. Lelaki berusia 41 tahun yang berasal dari Selangor itu mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura, dari 16 hingga 22 Januari bagi menghadiri mesyuarat bersama delegasi antarabangsa termasuk dari China.

Dr Noor Hisham berkata daripada 17 kes yang dilaporkan itu sehingga kini, tujuh kes dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) jangkitan, lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Daripada jumlahtersebut, 12 kes melibatkan warga China dan lima orang warganegara Malaysia iaitu dua yang dibawa pulang dari misi terbabit, satu kes melibatkan seorang lelaki ke Singapura (kes kesembilan) manakala dua lagi merupakan kontak rapat kepada lelaki tersebut (adik dan ibu mertua).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata empat sekeluarga yang merupakan ahli keluarga kepada kes positif koronavirus pertama dilaporkan di Singapura yang dirawat di wad isolasi Hospital Sungai Buloh berada dalam keadaan sihat dan tidak bergejala.

“Namun, ujian bagi dua lagi ahli keluarga mereka masih perlu dijalankan semula. Justeru, sebaik sahaja ujian pengesahan koronavirus ulangan bagi kedua-dua mereka dikesan negatif sebanyak dua kali berturut-turut, pihak hospital bersedia untuk membenarkan mereka pulang dalam masa yang terdekat,” katanya.

Mengulas mengenai koronavirus di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata meskipun terdapat pelaporan kes dari semasa ke semasa, namun setakat ini, ia masih lagi terkawal.

Katanya setakat ini tiada ‘jangkitan berterusan dari manusia ke manusia’ dan tiada kes-kes terpencil yang dilaporkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama semua pihak akan terus mempertingkatkan lagi kesiapsiagaan dan respons terhadap kejadian jangkitan koronavirus.

– BERNAMA


Pengarang :