Wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

WHO puji Malaysia tangani koronavirus

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Seorang pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji tindakan pihak berkuasa Malaysia mengurus dan membendung penularan jangkitan koronavirus 2019.

Wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru berkata kerajaan negara ini cemerlang melakukan siasatan kesnya selain telus berkongsi perkembangan terkini bukan hanya kepada WHO tetapi juga kepada orang ramai.

“Kami (WHO dan orang ramai) boleh melihat semua maklumat, dan maklumat itu dikeluarkan dengan pantas di media sosial serta laman sesawang Kementerian Kesihatan, jadi saya rasa mereka telah melakukannya dengan baik sekali.

“WHO juga sentiasa berhubung dan berkongsi maklumat (dengan pihak berkuasa Malaysia), seperti garis panduan terkini… mereka meminta (garis panduan dalam menangani koronavirus) dan menggunakannya. (Secara keseluruhan) mereka begitu bersedia, berani dan rajin,” katanya ketika muncul dalam program Bernama TV di sini semalam.

Hari ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad mengesahkan dua kes baharu koronavirus daripada rakyat Malaysia yang dibawa pulang kelmarin dari bandar Wuhan di China.

Pengumuman terkini itu menjadikan kes terkumpul koronavirus di Malaysia 12.

Sementara itu, Dr Lo menasihati rakyat Malaysia yang mengalami gejala penyakit pernafasan seperti batuk, bersin atau sesak nafas agar segera mendapatkan nasihat perubatan.

“(Orang ramai yang mempunyai gejala ini) juga perlu mendedahkan sejarah perjalanan mereka bagi membolehkan pihak berkuasa perubatan menentukan sama ada anda berisiko menerusi satu ujian diagnostik.

“Tetapi saya rasa apa yang lebih penting adalah untuk mengingatkan semua orang bahawa mereka bolehmencegah jangkitan virus ini seperti mencuci tangan dan memakai topeng muka,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :