AGENSISELANGOR

YIDE giat cari dana bina kompleks anak yatim Pulau Indah

SHAH ALAM, 29 FEB: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) sedang mempergiat usaha mencari dana bagi pembinaan kompleks anak yatim di Pulau Indah Klang, kata pengerusinya.

Dato’ Bakhtiar Hussin berkata kompleks berkenaan dijangka memulakan pembinaan pada hujung tahun ini.

“Kita membuka ruang kepada orang awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor dan syarikat swasta untuk mengambil peluang infaq dana bagi merealisasikan hasrat murni YIDE membangunkan kompleks ini,” katanya.

Katanya, infaq dana boleh dibuat melalui perbankan internet dengan melayari pautan https://yide.com.my/donations/infaq-dana-kompleks-anak-yatim/

Infaq diberikan dikecualikan daripada Cukai Pendapatan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967, Nombor Rujukan LHDN.01/35/42/51/179-6.7622, bertarikh 15 November 2019 melalui Resit Rasmi, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

SelangorKini sebelum ini melaporkan projek seluas tiga ekar itu akan dibangunkan Central Spectrum (M) Sdn Bhd (Central Spectrum) dengan kos perbelanjaan menelan kira-kira RM10 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada 2021.

Kompleks berkenaan akan menempatkan seramai 200 anak yatim lelaki serta dilengkapi pelbagai infrastruktur seperti padang bola, dewan serbaguna dan surau.


Pengarang :