Selangorkini
AGENDA EKONOMI

Yuran penyenaraian di Bursa Malaysia diberi pengecualian 12 bulan

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bursa Malaysia memberi pengecualian yuran penyenaraian bagi tempoh 12 bulan, kata Perdana Menteri sementara Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata ini bagi penyenaraian di papan Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP); Akses, Kepastian, Kecekapan (ACE); serta Papan Utama bagi syarikat yang bermodal pasaran kurang daripada RM500 juta.

Dr Mahathir berkata demikian ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bertema ‘Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan’ di Putrajaya, hari ini.

Pasaran LEAP menyediakan akses mudah bagi syarikat-syarikat baharu, termasuk perusahaan kecil dan sederhana, kepada pengumpulan dana menerusi pasaran modal dan peluang pelaburan baharu untuk pelabur sofistikated.

Pasaran Utama dan Pasaran ACE pula memberi kebolehlihatan yang lebih besar kepada syarikat-syarikat melalui pasaran modal serta platform yang jelas untuk mengumpul dana daripada pelabur institusi dan runcit.

— BERNAMA


Pengarang :