Kakitangan perubatan melakukan saringan pengesanan Covid-19 ke atas jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
BERITA UTAMANASIONAL

190 lagi dijangkiti Covid-19, kes meningkat 428 orang

SHAH ALAM, 15 MAC: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan 190 kes baharu Covid-19 setakat jam 12 tengah hari tadi menjadikan jumlah kes kumulatif meningkat kepada 428, kata menterinya.

Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kebanyakan kes baharu berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur pada 27 Februari hingga 1 Mac lalu.

“Penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan tabligh diteruskan dan mereka digesa menghubungi pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan salanjutnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, peserta yang tampil akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut Seksyen 15(1), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan atau kontak rapat kepada kes positif mengikut mana yang terkemudian.

“Begitu juga untuk kontak rapat kepada kes positif, pesakit dalam siasatan (PUI) tidak mematuhi kriteria kemasukan ke dalam hospital mereka perlu diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian mengikut akta sama,” katanya.

Beliau berkata, seramai sembilan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan sehingga kini.

Katanya, tujuh kes yang disahkan positif penyakit itu sebelum ini telah pulih dan dibenarkan keluar Hospital Sungai Buloh.

“Ini menjadikan 42 kes pulih sepenuhnya setakat ini dan dibenar pulang,” katanya.


Pengarang :