Datuk Kamarudin Jaffar. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

212 rakyat Malaysia terkandas di Uzbekistan selamat tiba

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Seramai 212 rakyat Malaysia yang terkandas di Tashkent, Uzbekistan, selamat tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9 malam tadi.

Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kumpulan itu berlepas pada hari sama menerusi penerbangan Uzbekistan Airways, yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negara itu.

“Kerajaan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Uzbekistan, atas inisiatif serta bantuan yang dihulurkan bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pesawat yang sama telah digunakan untuk membawa pulang sekitar 200 rakyat Uzbekistan yang terkandas di Malaysia, pada hari yang sama pukul 11.30 malam, di bawah penyelarasan Kedutaan Besar Uzbekistan, di Kuala Lumpur.

Kamarudin yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Covid-19 kementerian itu berkata, pihaknya akan sentiasa memantau secara rapat perkembangan rakyat Malaysia di luar negara, melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia bagi memastikan semua yang terkandas di luar negara, dapat pulang ke Malaysia dengan segera.

– BERNAMA


Pengarang :