AGENSISELANGOR

30 individu ingkar arahan PKP ditahan di Petaling Jaya

SHAH ALAM, 29 MAC: Polis menahan 30 individu dalam Op Covid-19 kerana ingkar arahan kerajaan dengan berada di luar kediaman tanpa alasan munasabah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata penahanan yang dibuat dalam tempoh dua hari sehingga awal pagi semalam dilakukan di beberapa lokasi antaranya jalan raya, taman permainan dan luar premis.

Katanya, seramai 14 warga tempatan termasuk seorang wanita ditahan dalam operasi itu selain 16 warga asing iaitu Indonesia, Nigeria, India, China dan Vietnam.

“Warga Nigeria yang diperiksa di satu sekatan jalan bertindak agresif sebelum warga asing itu ditahan kerana tidak memberi alasan munasabah selain menghalang tugas menghalang penjawat awam,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nik Ezanee berkata penahanan dibuat mengikut Peraturan 7 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawasan Tempatan) 2020 yang boleh dihukum denda maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Polis menggesa orang ramai patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan dan hanya keluar sekiranya ada keperluan mendesak,” katanya.


Pengarang :