AGENDABERITA UTAMANASIONAL

33 peratus wanita Malaysia pegang jawatan kanan, atasi piawaian global

SHAH ALAM, 6 MAC: Sebanyak 33 peratus wanita di Malaysia kini memegang jawatan kanan pengurusan syarikat, meningkat 10 peratus berbanding tahun lalu.

Berdasarkan Laporan Perniagaan Antarabangsa (IBR) Grant Thornton, angka itu tertinggi sejak 2007 mengatasi peratusan global iaitu 29 peratus.

Dalam 90 peratus bidang perniagaan, sekurang-kurangnya seorang wanita menyandang jawatan pengurusan kanan, mengatasi peratusan global iaitu 87 peratus, lapor Malay Mail.

Pengarah urusan Grant Thornton Malaysia berkata tiga kedudukan pengurusan kanan tertinggi yang diisi wanita ialah pengarah sumber manusia (52 peratus), ketua pegawai kewangan (29 peratus) dan ketua pegawai operasi (28 peratus).

“Data 2020 menunjukkan wanita lebih banyak diberi peluang memegang peranan penting dalam bidang sumber manusia dan strategi di Malaysia,” kata Datuk NK Jasani.

Beliau berkata 52 peratus wanita memegang jawatan pengarah sumber manusia berbanding 44 peratus pada tahun lalu, jumlah tertinggi di Asia Tenggara.

Beliau berkata 28 peratus wanita Malaysia turut dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif, tertinggi di rantau itu, berbanding 11 peratus tahun lalu.

Bagaimanapun, NK Jasani berkata jumlah wanita memegang jawatan ketua pegawai kewangan menunjukkan penurunan.

Laporan sama turut menyatakan Malaysia giat menghapuskan diskriminasi jantina bagi pengisian jawatan kanan.


Pengarang :