Kakitangan perubatan melakukan saringan pengesanan Covid-19 ke atas jemaah tabligh di Masjid Seri Petaling Kuala Lumpur. Foto Facebook Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

41 lagi dijangkiti Covid-19, kebanyakan jemaah tabligh

SHAH ALAM, 14 MAC: Sebanyak 41 kes baharu positif Covid-19 dikesan sehingga petang ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 238 kes hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi kenyataan di Twitter berkata sebahagian besar kes baharu itu berkait dengan kluster perhimpunan keagamaan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur.

“Orang ramai diseru tidak menyertai perhimpunan awam lebih 50 orang bagi mengelak penularan wabak itu. Ini cara terbaik untuk mengawal Covid-19 menjadi lebih serius.

“Kementerian menjangka lebih ramai lagi dikesan positif virus itu ekoran perhimpunan tabligh di Seri Petaling,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, KKM memaklumkan 35 individu yang dirawat telah sembuh.

“Seramai 203 kes masih dirawat di wad, dengan lima daripadanya dirawat di Unit Rawatan Rapi dan memerlukan bantuan pernafasan. Kes-kes ini juga telah diberikan rawatan antiviral,” jelas kenyataan itu.

Pada 12 Mac, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan seorang warga emas yang menyertai perhimpunan itu dijangkiti Covid-19.

Perhimpunan pada 28 Februari hingga 1 Mac itu dihadiri lebih 10,000 orang dari seluruh negara.

Berikutan itu KKM menggesa jemaah tabligh tampil membuat saringan kesihatan di 57 hospital kerajaan atau mana-mana hospital swasta yang mempunyai kemudahan saringan penyakit berkenaan.


Pengarang :