Polis melakukan sekatan jalan raya di Kampung Sungai Lui, Batu 21 Hulu Langat pada 30 Mac 2020 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di kawasan tersebut. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

700 keluarga di Sungai Lui terima bekalan makanan – ADN

SHAH ALAM, 31 MAC: Bekalan bahan makanan sudah diedarkan kepada kira-kira 700 keluarga di kawasan Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat yang terkesan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula sejak petang semalam.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata pihaknya berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan semua penduduk mendapat keperluan makanan masing-masing.

“Bungkusan makanan telah dihantar kepada penduduk dari petang hingga malam tadi oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Justeru, penduduk dinasihatkan tidak panik kerana bekalan makanan dijamin mencukupi sepanjang tempoh PKPD sehingga 13 April ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata tinjauan pihaknya setakat ini mendapati semua penduduk di tujuh kampung kawasan terbabit akur terhadap PKPD.

“Kita beri penjelasan serius berkaitan ancaman Covid-19 kepada penduduk, jadi mereka perlu patuh arahan dikeluarkan memandangkan 71 kes positif jangkitan di kawasan ini sangat tinggi.

“Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) bersedia menerima panggilan orang ramai jika memerlukan sebarang pertolongan mendesak dan kita akan memaklumkan kepada JKM,” katanya.

Arahan PKPD dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah di Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat.


Pengarang :