Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang membuat tinjauan pada hari pertama pasukan tentera membantu pihak polis melakukan sekatan di Jalan Ampang susulan Perintah Kawalan Pergerakan. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

7,500 anggota ATM bantu polis laksana Perintah Kawalan Pergerakan

KUALA LUMPUR, 22 MAC: Seramai 7,500 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara diatur gerak setiap hari bagi membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Panglima ATM, Jen Tan Sri Affendi Buang berkata jumlah keanggotaan berkenaan merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu laut, udara dan darat yang disifatkan mencukupi serta tiada keperluan penambahan keanggotaan ATM setakat ini.

“Ia bergantung pada tugas-tugas yang akan datang, jika ada tempat diperlukan untuk diperbesarkan kawasaan jagaan kami akan memperkasakan dan tambah mengikut keperluan keadaan.

“Mereka ini bekerja dan diletak di satu-satu kawasan sekatan jalan raya dari pukul 12 tengah hari hingga 12 tengah malam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau anggota-anggota ATM yang bertugas dalam membantu polis di sini, hari ini.

Menurut Affendi, kesemua anggota ATM berkenaan dikehendaki bertugas secara bergilir-gilir mengikut shif yang ditetapkan sehingga selesai tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Anggota ATM ini ada yang dibekalkan dengan senjata ringan (M4) yang fungsinya hanya untuk memeriksa kenderaan bagi memastikan bahawa yang dibenarkan sahaja boleh melakukan perjalanan, selain untuk keselamatan anggota,” katanya sambil menambah tiada niat untuk menakutkan orang awam.

Affendi berkata sehingga kini selain membantu dalam sekatan jalan raya, anggota keselamatan itu turut akan mengadakan rondaan menggunakan kenderaan ronda tentera dan tiada keperluan menggunakan kenderaan atau senjata berat milik ATM.

“Tiada keperluan untuk itu (menggunakan kenderaan berat) kami hendak memperkasakan Perintah Kawalan Pergerakan jadi tidak perlu pakai senjata berat. Kami bukan melawan musuh, kami jalankan tugas ketenteraman awam sahaja,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media sebelum ini berkata tentera mula dikerahkan bagi membantu polis melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan pada 12 tengah hari.

Selain itu, menteri kanan itu berkata tentera akan membantu polis di sekatan jalan raya dan rondaan serta di kawasan pasar dan pasar raya bagi memantau pematuhan penjarakan sosial.

– BERNAMA


Pengarang :