Selangorkini
Proses nyahkuman dikendalikan dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari negara berisiko dengan Covid-19. Foto Farhan Sufyan Borhan
AGENDA NASIONAL

86 rakyat Malaysia tiba dari Mesir esok

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Seramai 86 rakyat Malaysia akan dibawa pulang dari Kaherah, Mesir menaiki pesawat sewaan khas kerajaan Brunei Darussalam yang dijangka tiba di Bandar Seri Begawan esok.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata kesemua mereka akan dibawa pulang pada hari yang sama dengan menaiki pesawat sewaan khas Malaysia Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11.25 pagi esok.

“Dengan mengambil kira hubungan dua hala yang istimewa Malaysia dan Brunei, kerajaan juga bersetuju untuk membawa pulang 142 warganegara Brunei yang terkandas di Malaysia dengan menaiki pesawat khas yang sama,” katanya melalui media sosial mengenai perkembangan terkini proses pemindahan rakyat Malaysia di luar negara.

Beliau berkata, kerajaan Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Brunei di atas keprihatinan dan kesudian untuk membawa pulang warganegara Malaysia yang terkandas di Mesir.

– BERNAMA


Pengarang :