Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Jalan Ampang pada 21 Mac 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengawal penularan Covid-19. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

95 peratus rakyat patuh Perintah Kawalan Pergerakan – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 24 MAC: Pematuhan rakyat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini meningkat kepada 95 peratus tetapi terdapat trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini ingin kembali ke bandar-bandar besar pula.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesesakan di bandar ketika ini semakin berkurang dan jalan raya semakin lengang dengan kadar pematuhan yang tinggi itu hasil kerjasama bersepadu yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Rela dan pihak berkuasa tempatan.

“Bagaimanapun telah mula menunjukkan trend rakyat yang pulang ke kampung sebelum ini, ingin kembali pulang ke bandar besar untuk kembali bekerja dan saya harap ia tidak dilakukan sama sekali seperti yang telah dinasihatkan sebelum ini.

“Terus tinggal di kampung halaman masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Kanan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi membendung perkara itu, polis telah mengadakan sekatan jalan raya di 23 plaza tol di seluruh negara dan mereka yang berkenaan akan dinasihatkan pulang semula ke kampung halaman masing-masing sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan itu berakhir.

Beliau berkata tindakan undang-undang mungkin akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi arahan dan nasihat polis.

“Pihak polis mungkin akan mengubah cara mereka bukan setakat nasihat tetapi tindakan undang-undang juga akan diambil kepada mereka yang menghalang penjawat awam dan juga masih berdegil dan gagal mematuhi arahan atau nasihat yang dikeluarkan pihak polis,” katanya.

Sehingga kini, sebanyak 695 laporan polis dibuat, kertas siasatan terhadap 46 kes telah dibuka dan 28 orang telah ditangkap berhubung perkara itu.

Selain itu, Ismail Sabri berkata anggota polis dan tentera juga akan ditugaskan untuk mengawasi bank dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) menjelang hari pembayaran gaji untuk kakitangan awam esok dan kakitangan swasta beberapa hari lagi.

Ismail Sabri berkata ia bagi memastikan orang ramai mematuhi saranan penjarakan sosial satu meter untuk mengelakkan jangkitan virus Covid-19.

“Saya menyeru supaya jangan berpusu-pusu di bank atau mesin ATM, kita akan tempatkan pihak polis dan tentera untuk kawal di bank dan sebagainya supaya pematuhan penjarakan sosial dilakukan apabila mereka melakukan proses pengeluaran wang.

“Pihak bank juga akan tentukan berapa ramai yang boleh masuk ke dalam bank pada satu-satu masa dan sebagainya untuk pastikan jarakan sosial itu dilaksanakan. Jadi saya berharap agar orang ramai yang keluarkan wang mengikut arahan yang dikeluarkan petugas bank, polis bantuan, polis atau tentera,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat 85 kes penyebaran berita palsu dengan enam daripadanya telah dituduh di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menyebarkan berita palsu untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang.

Perintah Kawalan Pergerakan itu dikuatkuasakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19 di negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :